Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkah awal perbaiki kereta dibanjiri

    Musim tengkujuh tiba lagi yang menjadi kerisauan pemilik kereta.

    Selain risau rumah dilanda banjir, apa yang turut dirisaukan oleh ramai individu juga adalah untuk meredah hujan lebat semasa memandu kenderaan di jalan raya.

    Bagaimana jika terperangkap di dalam banjir? Apakah yang perlu awda lakukan? Adakah awda patut redah atau tunggu sehingga banjir semakin surut dan hujan semakin reda?

    Justeru, artikel kali ini akan mengongsikan tip kepada mengenai apa yang perlu dilakukan jika kereta terlibat dalam kejadian banjir.

    Teruskan membaca artikel oleh laman web BJAK ini untuk mengetahuinya.

    Periksa paras dipstick minyak kereta awda selepas terlibat dalam banjir. – Freepik

    JANGAN HIDUPKAN ENJIN KERETA

    Jangan gatal tangan! Meskipun selepas banjir sudah mulai surut dan keadaan dilihat mula selamat, awda jangan sesekali cuba untuk menghidupkan enjin kereta terutamanya jika air banjir sudah mula tutup ekzos kenderaan dan bahagian enjin.

    JADI APA YANG PATUT AWDA LAKUKAN?

    Biarkan dulu kenderaan awda dan apabila air banjir sudah surut, segera hubungi trak tunda untuk membawa kereta awda ke bengkel. Ingat, jangan hidupkan enjin kereta!

    Kenapa tak boleh hidupkan enjin?

    Sebabnya mudah. Jika awda cuba menghidupkan enjin kereta awda, enjin yang sudah terjejas akibat banjir tadi mungkin akan mengalami kerosakan yang lebih teruk
    dan berpotensi tinggi untuk berlaku litar pintas.

    PERIKSA PARAS MINYAK ENJIN DAN KOTAK GEAR

    Antara perkara yang perlu diperiksa adalah paras dipstick minyak kereta awda selepas terlibat dalam banjir. Jika ia tinggi dari yang sepatutnya, maka besar kemungkinan bahawa air banjir sudah masuk ke dalam enjin kereta awda.

    Jadi, pastikan awda membuat flushing dan gantikan dengan minyak baharu (yang mana kebiasaannya akan dibuat oleh mana-mana mekanik).

    Air banjir yang bercampur dengan minyak hitam atau minyak kotak gear boleh merosakkan komponen.

    CABUT DAN KERINGKAN KOMPONEN ELEKTRIK

    Radio, bateri, HUD Display atau apa sahaja komponen elektrik dalam kereta hendaklah dicabut untuk dikeringkan.

    Selain itu, pastikan juga kusyen kereta awda dicuci dan dikeringkan dengan baik bagi mengelakkan bau yang tidak menyenangkan.

    FLUSH PETROL JIKA PERLU

    Awda pasti sedar bahawa tangki minyak kereta awda berada pada kedudukan yang agak rendah bukan? Walaupun kebarangkalian untuk air banjir masuk dalam tangki itu rendah, namun kemungkinannya tetap ada.

    Jadi, untuk mengelak sebarang masalah besar atau kemungkinan kereta awda perlu overhaul, awda dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel atau pusat servis kereta bagi melihat sama ada perlu untuk flush minyak sehingga betul-betul kering atau mengisi minyak baharu.

    KELUARKAN AIR DARIPADA ENJIN

    Bergantung pada kenderaan awda, ada air yang boleh dipam keluar dengan mencabut spark plug sambil enjin running.

    Bagaimanapun, dapatkan dulu nasihat dari bengkel atau pusat servis kereta awda.

    KAWASAN AWDA RISIKO BANJIR? INI LANGKAH PENCEGAHAN YANG BOLEH DILAKUKAN

    1. Parkir kereta awda di tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan ia terdedah kepada risiko untuk tenggelam akibat banjir.
    2. Untuk langkah keselamatan, tutup ekzos kereta awda dengan sesuatu yang padat agar air tidak dapat ditembusi sekiranya berlaku banjir.
    3. Cabut terminal bateri kereta awda.
    4. Tidak meninggalkan barang penting dan mudah rosak di dalam kereta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda