Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkah ke arah graduan berdaya saing

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dalam usaha untuk mempromosi dan mengembangkan kerjasama di antara Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dengan beberapa buah rakan industri yang sedia ada, dan yang baharu dalam bidang pendidikan dan program latihan, satu perjanjian telah dimeterai dalam Majlis Penandatanganan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang berlangsung di sebuah hotel di Anggerek Desa.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan sebanyak 22 penandatanganan MoU di antara IBTE dan rakan-rakan industri itu ialah Setiausaha Tetap (PengajianTinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Menandatangani MoU bagi pihak IBTE ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE dan Pengarah Pendidikan Teknik, Pengetua IBTE Satellite, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab, sementara menandatangani bagi pihak rakan-rakan industri diwakili oleh syarikat masing-masing.

    Terdahulu Dr Suhaimi dalam ucapan alu-aluan antara lain telah menjelaskan, kerjasama tersebut adalah pembuka jalan kepada perjalanan transformatif dalam bidang latihan berasaskan kecekapan, yang sejajar dengan misi IBTE.

    Pada teras perkongsian itu terletak visi bersama untuk memperkasakan generasi muda kita melalui pemerolehan kemahiran yang relevan yang bersesuaian dengan keperluan pasaran, membolehkan mereka berkembang maju dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

    Dr Haji Azman menyaksikan penandatanganan MoU semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dengan termeterai MoU itu, beliau menjelaskan IBTE selangkah lebih dekat dalam mencapai matlamatnya untuk melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, boleh bekerja dan bersedia bekerja melalui meningkatkan penglibatan pelajar.

    Di samping itu, ia menyelaraskan dan menyepadukan kemahiran yang diperlukan oleh industri dalam kurikulum, dan membina hubungan yang berharga dengan profesional industri.

    MoU berkenaan telah menyaksikan 22 rakan industri mengambil bahagian, dan untuk Perantisan Sistem Dual dalam (NTec) Professional Cookery and Services. Rakan kongsi industri terdiri daripada Hotel Empire Brunei, Hotel Mulia, Royal Brunei and Riding Club, Entrek (B) Sdn Bhd, Hotel Antarabangsa Rizqun, dan Royal Brunei Culinary.

    Sementara Perantisan Sistem Dual dalam (HNTec) Penyejukan dan Penyaman Udara, MoU ditandatangani di antara IBTE dan Syarikat Aconkleen dan Q-Carrier Sdn Bhd.

    Manakala rakan kongsi industri untuk NTec dalam Juruteknik Automotif pula terdiri daripada Boustead Sdn Bhd, GHK Motors Sdn Bhd, Jati Transport Sdn Bhd, NBT (Brunei) Sdn Bhd, Syarikat Premier Motor Sdn Bhd, QAF Auto Sdn Bhd, QAF Prestige Sdn Bhd, Setia Motors Sdn Bhd, TCY Motors Sdn Bhd dan lain-lain.

    Bagi Perantisan Tahap II dalam Penarafan Dek dan Penarafan Enjin, ia telah ditandatangani dengan Jisco Marine Sdn Bhd dan Stanford Orion Services.

    Antara objektif MoU itu adalah khusus untuk Program Perantisan IBTE, iaitu Perantisan Sistem Dual dalam HNTec dalam Penyejukan dan Penyaman Udara, NTec dalam Profesional Masakan dan Perkhidmatan, NTec dalam Juruteknik Automotif, dan Tahap II Perantisan dalam Dek dan Penarafan Enjin.

    Program perantisan tersebut antara lain bertujuan untuk menyediakan perantis latihan kerja berkualiti tinggi dan piawaian yang diiktiraf bagi melengkapkan perantis dengan pengetahuan yang berkaitan dan kemahiran, kelayakan yang diiktiraf, dan meningkatkan peluang pekerjaan dalam rakan industri IBTE.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda