Kadang-kadang aku rasa masa depan itu seperti tempat gelap yang aku terpaksa berjalan masuk, walaupun aku sendiri tak nampak apa yang menunggu di dalam. Semua orang selalu cakap, “jangan takut, percaya proses,” tapi mereka tak tahu betapa kuatnya debar dalam dada setiap kali aku fikir tentang esok. Bukan sebab aku tak berusaha, tapi sebab aku tak pasti usaha aku cukup atau tidak.
Aku selalu tanya diri sendiri, macam mana kalau aku tak berjaya? Macam mana kalau semua orang yang percaya pada aku akhirnya kecewa? Macam mana kalau aku sendiri tak jadi seperti yang aku bayangkan? Soalan-soalan itu datang waktu malam, waktu semua orang tidur dan aku masih terjaga dengan kepala yang tak berhenti berputar.
Orang nampak aku tenang, tapi hakikatnya aku banyak pura-pura. Pura-pura yakin. Pura-pura tahu apa aku buat. Pura-pura tak apa walaupun hati sebenarnya penat. Masa depan itu menakutkan bukan sebab ia jauh, tapi sebab ia terlalu dekat. Setiap hari aku terasa seperti sedang berjalan di atas tali, cuba seimbangkan hidup tanpa jatuh.
Tapi dalam rasa takut itu, ada satu bahagian kecil dalam diri aku yang masih mahu percaya. Bahagian kecil yang bisik: “Kau dah lalu macam-macam, kau boleh lalu lagi.”
Kadang-kadang bisikan itu perlahan, tapi cukup untuk buat aku terus melangkah walaupun takut. Mungkin masa depan tak akan jadi seperti yang aku rancang, tapi aku harap suatu hari nanti, bila aku toleh ke belakang, aku boleh kata, aku tak berhenti, walaupun takut separuh mati.

Hana
NASIHAT DANG MP –
Terima kasih kepada Hana kerana sudi berkongsi curahan hati bersama Media Permata.
Pertama sekali, awda harus bertenang terlebih dahulu dengan menarik nafas yang panjang dan perlahan beberapa kali.
Apa yang Hana rasa itu normal. Perasaan sangsi dan kurang yakin bukanlah tanda diri awda lemah.
Awda hanya perlukan beberapa kesedaran dan keberanian untuk terus mencuba dan bangkit sekiranya gagal.
Hakikatnya, hidup memang dibina daripada langkah kecil, bukan satu lompatan besar dan bukan juga satu kejayaan besar yang dicapai dalam masa yang singkat.
Ia juga dibina daripada sasaran-sasaran kecil yang berjaya dicapai. Dan dari situlah timbulnya keyakinan yang kian bertambah dan seterusnya menjadi kekuatan dalam diri.
Sekiranya takutkan kegagalan, usahlah menghantui diri dengan soalan “bagaimana kalau aku gagal?” sebaliknya jika gagal, tanyalah, “Bagaimana boleh aku belajar dari kegagalan ini? Bagaimana kalau aku bertahan? Bagaimana kalau aku sebenarnya lebih kuat dari yang aku sangka?”
Belajarlah daripada pengalaman menghadapi kegagalan kerana pengalamanlah bakal menjadi guru terbaik dalam kehidupan.
Adalah lebih baik gagal akibat mencuba dan belajar daripadanya daripada tiada percubaan langsung dan hanya takut kepada bayang-bayang kegagalan.
Ayuh Hana, mulakan langkah dengan berani dan semoga tabah menghadapi cabaran dan beroleh kejayaan.
Yang penting adalah, teruskan mencuba, jangan mudah berputus asa serta jangan terlalu banyak disekat kerisauan.









