Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkah-langkah penjimatan kos bahan api kereta

    Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan penggunaan bahan api dengan mengamalkan beberapa tip ringkas, yang bukan sahaja boleh membantu menjimatkan wang untuk petrol tetapi juga meningkatkan penjimatan bahan api keseluruhan kereta seseorang.

    Berikut adalah beberapa kaedah mudah untuk mengurangkan penggunaan bahan api untuk kenderaan empat roda kesayangan awda.

    GAYA PEMANDUAN

    Salah satu cara paling mudah untuk meningkatkan kecekapan bahan api ialah dengan menukar gaya pemanduan awda.

    Mulakan dengan beralih kepada pecutan yang lebih lembut. Lebih cepat awda memecut, lebih banyak petrol yang digunakan oleh kereta. Elakkan memandu dengan laju kerana kenderaan menggunakan lebih banyak petrol seiring dengan peningkatan kelajuan. Bahan api boleh dijimatkan dengan mengangkat kaki awda dari pemecut lebih awal dan biarkan kereta awda meluncur untuk memperlahankan kelajuan berbanding menggunakan brek awda.

    Awda juga harus mengelak memandu pada RPM yang tinggi. Sebagai contoh, kereta yang bergerak pada kelajuan 130 kilometer sejam (km/j) menggunakan kira-kira 20 peratus lebih banyak bahan api daripada kereta yang bergerak pada kelajuan 110km/j. Dalam perjalanan sejauh 10km, kelajuan dan penggunaan bahan api tersebut hanya dapat mengurangkan 1.5 minit masa perjalanan awda. Maka, menjadi lebih berhati-hati semasa memandu boleh mendatangkan keajaiban kepada penjimatan bahan api kereta awda.

    Semakin banyak bebanan yang dibawa, semakin banyak bahan api yang diperlukan oleh kereta awda untuk bergerak ke hadapan. – Freepik
    Periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya sekali seminggu. – Freepik
    Kereta yang diselenggara dengan baik dapat meningkatkan kecekapan enjin sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api. – Freepik

    MENGURANGKAN BERAT

    Mengurangkan semua berat yang tidak diperlukan dalam kereta awda boleh meningkatkan kecekapan, kerana ia akan mengambil kurang kuasa daripada enjin untuk menolak kereta ke hadapan. Mereka yang mempunyai tabiat membawa apa sahaja dan segala-galanya di dalam but kereta seperti peralatan sukan dan barang tambahan untuk alat ganti kecemasan boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan berat bagi menjimatkan lebih banyak bahan api. Dengan cara ini, awda boleh menjangkakan pengurangan 2 hingga 3 peratus dalam penggunaan bahan api.

    TEKANAN TAYAR

    Periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya sekali setiap minggu. Jika tayar tidak cukup angin, kereta itu mungkin mempunyai daya cengkaman yang lebih tinggi, tetapi ia bukanlah kereta yang paling jimat minyak di luar sana, kerana ia akan meningkatkan rintangan berguling di atas jalan raya.

    Membiarkan lebih banyak rintangan pada tayar juga akan mengurangkan jangka hayatnya kerana ia akan lebih cepat haus dan botak. Jika tayar kurang angin walaupun sehingga 10 psi, ini boleh mengurangkan kecekapan bahan api kereta sehingga 10 peratus. Oleh itu, adalah lebih baik untuk memandu dengan tayar yang mempunyai tekanan angin yang betul, seperti yang disyorkan oleh pengeluar.

    ELAKKAN IDLE TERLALU LAMA

    Kereta yang idle (enjin dihidupkan tetapi kereta tidak bergerak) boleh menghabiskan lebih banyak bahan api daripada yang orang fikirkan, kerana enjin memerlukan bahan api untuk berjalan walaupun idle.

    Sebuah kereta dengan enjin 3,000 cc boleh menghabiskan sehingga 300 mililiter (lebih daripada satu tin Coca-Cola) bahan api untuk setiap 10 minit ia idle. Melainkan kereta awda mempunyai fungsi henti-mula, adalah lebih baik jika awda matikan enjin apabila awda berhenti selama lebih dua minit.

    Awda juga tidak seharusnya mematikan enjin terlalu kerap dalam trafik yang bergerak perlahan, kerana berbuat demikian boleh memberi banyak tekanan pada enjin sehingga membakar lebih banyak bahan api. Bagi mengurangkan lagi penggunaan bahan api, rancang laluan awda dengan teliti sebelum memulakan perjalanan. Elakkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak jika boleh dan gunakan Google Maps untuk mengetahui situasi lalu lintas semasa.

    PENYELENGGARAAN AM

    Menjaga penyelenggaraan am boleh menjadikan kereta lebih cekap sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api.

    Kebanyakan pemandu cenderung untuk tidak menjaga penyelenggaraan am kereta mereka yang membawa kepada peningkatan kos kilometer per liter. Tukar penapis minyak dan minyak seperti yang dicadangkan oleh manual pemilik.

    Tukar penapis udara dan palam pencucuh apabila perlu, dan pastikan roda dijajar dan seimbang dengan betul. Bawa kereta awda ke mekanik atau pengedar untuk penalaan umum apabila diperlukan. Dengan melakukannya, ia berpotensi menangani isu-isu yang menjejaskan kecekapan penggunaan bahan api. Mengenal pasti masalah sedemikian terlebih dahulu boleh menjimatkan wang yang berharga untuk petrol.

    CAKNA PENGGUNAAN BAHAN API

    Mengambil peduli penggunaan awda adalah penting untuk mengurangkan perbelanjaan bahan api bulanan. Ini boleh dilakukan dengan mudah dengan menyemak sejauh mana awda telah memandu sejak pengisian semula terakhir awda dan membahagikan kilometer yang dipandu dengan jumlah petrol yang awda beli dalam liter. Ini akan membantu awda mengetahui jarak perjalanan kereta dan sama ada jarak tersebut lebih daripada yang awda jangkakan.

    Mengesan penggunaan bahan api secara manual juga boleh membantu awda memahami sejauh mana kereta awda boleh pergi tanpa mengisi tangki. Dengan cara ini, awda boleh mencabar diri awda untuk mengisi semula seberapa jarang yang mungkin, seterusnya mengurangkan kos bulanan awda. – ANN/The Daily Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda