PARIS, 9 MEI – Menyediakan langkah penjagaan kesihatan yang mudah dan murah kepada wanita hamil seperti menawarkan aspirin boleh menghalang lebih sejuta anak damit daripada dilahirkan mati atau mati semasa lahir di negara membangun setiap tahun, kata penyelidikan baharu pada Selasa.
Pasukan penyelidik antarabangsa juga menganggarkan bahawa satu perempat daripada anak damit di dunia dilahirkan sama ada pramatang atau kurang berat badan, sambil menambah hampir tiada kemajuan telah dicatat dalam bidang ini.
Pasukan itu menyeru kerajaan dan organisasi untuk meningkatkan penjagaan wanita dan anak damit yang diterima semasa kehamilan dan kelahiran di 81 negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Lapan langkah yang terbukti dan mudah dilaksanakan boleh menghalang lebih daripada 565,000 kelahiran mati di negara-negara ini, menurut satu siri kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal Lancet.
Langkah-langkah itu termasuk menyediakan mikronutrien, protein dan suplemen tenaga, aspirin dos rendah, hormon progesteron, pendidikan tentang bahaya merokok, serta rawatan untuk malaria, sifilis dan bakteria dalam air kencing.
Jika steroid disediakan untuk wanita hamil dan doktor tidak segera mengapit tali pusat, kematian lebih daripada 475,000 anak yang baru lahir juga boleh dicegah, menurut kajian.
Melaksanakan perubahan ini akan menelan belanja kira-kira AS$1.1 bilion, kata para penyelidik.
Ini adalah “sebahagian kecil daripada apa yang diterima oleh program kesihatan lain”, kata Per Ashorn, pengarang kajian utama dan profesor di Universiti Tampere Finland. – AFP