Langkah pengawalan COVID-19 dipuji

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Eiji Yamamoto.

Turut hadir dalam kunjungan hormat yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, pada kunjungan hormat tersebut, Tuan Yang Terutama telah menyatakan rasa kagum terhadap pengawalan situasi pandemik COVID-19 di negara ini.

Dengan pendirian teguh dan langkah-langkah tegas dijalankan, Negara Brunei Darussalam telah dapat mengawal penularan wabak Covid-19.

Yang Berhormat Pehin juga mengharapkan wabak COVID-19 akan dapat dikawal di Jepun, lebih-lebih lagi negara itu akan menjadi penganjur kepada acara Sukan Olimpik pada tahun ini yang diharapkan akan diadakan dengan jayanya.

Tuan Yang Terutama menyatakan bahawa Jepun sebagai penganjur kepada Sukan Olimpik, amat berbesar hati dan komited dalam menghoskan acara sukan tersebut dan akan memastikan segala langkah keselamatan didahulukan demi menjaga keselamatan dan kesihatan para atlet menyertai acara tersebut.

Pada perjumpaan tersebut, tambah kenyataan, kedua-dua belah pihak juga menyentuh mengenai perjalanan Persidangan MMN yang akan berlangsung tidak lama lagi di negara ini bagi membincangkan perkara utama iaitu Belanjawan Kerajaan.

Yang Di-Pertua MMN mengongsikan, selain daripada platform Persidangan MMN, ahli-ahli MMN juga aktif mengadakan permuzakarahan bersama kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan serta lawatan-lawatan untuk mengetahui secara lebih dekat lagi mengenai perkara-perkara strategik, dasar-dasar hal ehwal kerajaan dan perlaksanaan projek-projek yang berjalan atau yang dirancangkan.

Kedua-dua belah pihak merakamkan rasa penghargaan atas hubungan kerjasama yang terjalin sejak lamanya dan berharap hubungan parlimen juga dapat terus berkembang dan diperkukuhkan lagi melalui pertukaran lawatan di antara kedua belah pihak yang diharapkan dapat dibuat selepas penularan wabak COVID-19 terkawal.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN semasa berbincang dengan TYT Eiji Yamamoto pada kunjungan hormat itu. – Gambar serahan Jab. Majlis-majlis Mesyuarat