Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkah perangi penyalahgunaan dadah

    KUALA LUMPUR – Di pintu masuk Poliklinik Khafidz yang terletak di Kajang, klinik merawat ketagihan yang beroperasi sejak tahun 2001, terdapat dua anak panah dilukis menggunakan pita di atas lantai jubin. Yang kanan menunjukkan arah ke pintu kayu yang bercorak, sementara yang satu lagi menunjuk ke sebuah pintu biasa.

    Bagi Muhammad, 31, dia akan memasuki pintu yang bercorak. Begitulah juga halnya dengan ratusan pesakit ketagihan yang akan melakukan perkara yang sama setiap hari untuk mendapatkan metadon, opiat sintetik yang digunakan untuk membantu penagih heroin mengawal ketagihan mereka. Itu diharap dapat membantu mereka berhenti terus mengambil dadah tersebut.

    Muhammad memberitahu Bernama, dia mengambil heroin sejak berumur 15 tahun, mungkin bukan suatu kejutan memandangkan ibu bapanya juga penagih dadah. Banyak kali dia cuba berhenti mengambil heroin dan meth tetapi gagal.

    Akhirnya, dia ke klinik ini untuk mendapatkan rawatan selepas rakannya, bekas penagih dadah yang bekerja sebagai pegawai khidmat masyarakat khusus untuk penagih bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), merujukkan dia ke situ.

    “Kawan beritahu, ‘Kalau nak berhenti betul-betul, kena ada doktor yang mengawasi (dengan kaunseling) semua tu’,” katanya menambah, sudah setahun dia tidak mengambil dadah dan berharap akan bebas dadah selama-lamanya.

    Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dengan merampas 49.5kg dadah pelbagai jenis bernilai RM7.8 juta dalam serbuan di sekitar Selangor pada 19 Julai lalu. – Bernama
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Gambar Freepik

    Kisah Muhammad ini boleh dianggap satu kejayaan kerana meskipun dia adalah pengguna dadah intravena (IV) lebih daripada sedekad lamanya, dia tidak pernah diuji positif HIV, di sebalik hakikat sekitar 30 peratus penagih dadah menggunakan jarum diuji positif HIV pada tahun 2008, menurut laporan Kementerian Kesihatan. Dalam hal ini, Muhammad adalah contoh yang menunjukkan matlamat pendekatan HIV/AIDS Malaysia, iaitu pengurangan kemudaratan berbanding sifar toleransi ada impaknya.

    Dengan kejayaan itu, para pakar meneruskan langkah berikutnya iaitu dekriminalisasi dadah (bukan pesalah jenayah terhadap penagih dadah). Pada tahun 2023, kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori untuk kesalahan dadah.

    Pada 26 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Kabinet meluluskan pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

    Anggota Pasukan Petugas Dekriminalisasi Dadah di bawah naungan Kementerian Kesihatan mengalu-alukan langkah ke arah dekriminalisasi dadah, tetapi menambah terdapat beberapa isu yang kerajaan perlu tangani bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.

    Dalam hal ini, mereka belum lagi diminta memberi pandangan.

    KEGUNAAN PERIBADI

    Malaysia membuat komitmen terhadap dekriminalisasi dadah tahun lalu (2023), dengan mengiktiraf bahawa perang ke atas dadah dengan pendekatan sifar toleransi gagal kerana bilangan tangkapan dadah masih tinggi tanpa menunjukkan pengurangan dalam kes pengedaran dadah.

    “Pengurangan kemudaratan terbukti berjaya tetapi daripada segi bebas dadah sepenuhnya gagal,” kata Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak, pengamal perubatan ketagihan dan anggota Pasukan Petugas Dekriminalisasi Dadah di bawah Kementerian Kesihatan.

    “Apa yang kamu lakukan (seperti) mengawal pengambilan aiskrim dalam sehari. Contoh, anak awda nak aiskrim.

    “Dia nak lima kali sehari tetapi awda tidak boleh halang anak awda daripada tidak makan aiskrim langsung.

    “Lima kali tak bagus untuk kesihatannya. Jadi awda kawal dia boleh makan satu aiskrim sehari sahaja,” katanya.

    Para pakar ketagihan dadah dengan pantas menekankan bahawa dekriminalisasi dadah bukan bermakna membenarkan dadah dijual dan orang boleh mengambil semua jenis dadah.

    Sebaliknya, penjualan serta pengedaran dadah terlarang masih lagi melanggar undang-undang dengan dekriminalisasi dadah, cuma orang tidak akan ditangkap kerana memiliki jumlah dadah yang kecil, hanya cukup untuk kegunaan peribadi.

    Ini bermakna, penagih dadah boleh membawa dadah secukupnya untuk melepaskan gian dan membantu mereka berfungsi. Individu yang mahu bereksperimen dengan dadah atau mengambil dadah untuk rekreasi juga tidak akan ditangkap sebagai penjenayah.

    Pada masa ini, undang-undang Malaysia kerana memiliki dadah terlarang adalah antara yang paling berat di dunia, boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup untuk jumlah yang kecil, yang pakar ketagihan pernah menyatakan bahawa jumlah tersebut cukup untuk bekalan seminggu.

    Pendekatan pengurangan kemudaratan juga bermakna menukar pendekatan dalam mengendalikan pengguna dan penagih. Pada perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan, Saifuddin memberitahu para pemberita, pindaan-pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 melibatkan 29 fasal.

    Satu daripadanya adalah bagaimana penagih disantuni atau dilayani, sebagai individu sakit dan bukan penjenayah.

    “Jika pindaan ini diluluskan, ia akan memudahkan usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuh banyak kerenah birokrasi dan lebih efektif, ” katanya.

    Kerajaan dijangka membentangkan pindaan-pindaan tersebut sebelum penghujung sesi Parlimen yang sedang berlangsung.

    SATU RAWATAN BUKAN UNTUK SEMUA

    Para pakar ketagihan memberitahu Bernama, memberi tumpuan kepada pengurangan kemudaratan dan dekriminalisasi dadah akan menggalakkan lebih ramai orang tampil untuk mendapatkan bantuan, kerana mereka mungkin tidak akan ditangkap.

    Pakar Sakit Jiwa Ketagihan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa berkata dekriminalisasi membuka peluang untuk orang mendapatkan rawatan.

    “Pada pandangan saya, jika ini berlaku, lebih ramai orang mahu mendapatkan rawatan seawal mungkin.

    “Bukan menunggu sehingga mereka jadi penagih tegar, bukan hanya selepas mendapat komplikasi psikologi seperti psikosis, kecelaruan mood, jadi itulah sebab dan peranan dekriminalisasi,” katanya.

    Para pakar juga menyatakan ketagihan dadah adalah isu yang rumit dan dasar mendiskriminalisasi dadah perlu mengambil kira semuanya itu.

    Semua bersetuju menyantuni penagih dadah sebagai pesakit dan bukan penjenayah, sebagai langkah positif.

    Dr Khafidz, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), berkata dekriminalisasi memerlukan pegawai polis merujuk penagih dadah kepada AADK dan pusat rawatan dan bukan menghantar mereka ke penjara.

    “Perlu ada hubungan antara doktor dan pegawai penguat kuasa. Jika pegawai penguat kuasa menahan orang daripada mendapatkan rawatan, bagaimana doktor boleh melakukan tugas mereka?” katanya, menambah, pegawai polis pernah datang ke kliniknya untuk menangkap penagih dadah yang menjadi pesakitnya.

    Pengarah Program Dasar Dadah di Yayasan AIDS Malaysia, Palani Narayanan, berkata beliau bimbang bagaimana dasar akan menggolongkan pengguna dadah, sambil menyatakan bukan semua pengguna adalah penagih yang memerlukan rawatan.

    Beliau juga bimbang sama ada pindaan itu akan memberi lebih banyak kuasa kepada pegawai-pegawai AADK dan bukannya doktor yang akan menentukan siapa yang memerlukan pemulihan serta rawatan.

    Dr Mohd Fadzli berpandangan, perlu ada lebih banyak pilihan untuk rawatan.

    Beliau menambah, orang ramai perlu tahu di mana mereka boleh mendapatkan bantuan, sama ada di hospital, klinik swasta atau NGO. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda