KUCHING, 29 JULAI – Pemain industri yang berkaitan dengan pengurusan acara serta persidangan profesional tempatan perlu memainkan peranan proaktif untuk membangunkan dan menarik kehadiran pelbagai persidangan serta acara ke Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo Sdn Bhd Mona Abdul Manap dalam membuat gesaan itu berkata ia selaras dengan pendekatan kerajaan negeri dalam menjadikan acara-acara perniagaan sebagai bahagian penting dalam usaha mempromosi pembangunan pelancongan di Sarawak.
Beliau berkata Place Borneo baru-baru ini melancarkan kempen ‘Meet Differently’ bagi mencetuskan idea baharu dalam industri pengurusan acara-acara perniagaan, selaras
dengan pengenalan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) baharu kerajaan bagi penganjuran acara dan perhimpunan.
“Kempen baharu ini bertujuan memberikan maklumat kepada pelanggan bahawa kita sudah bersedia untuk melayan mereka dengan cara baharu yang lebih mengujakan dalam penganjuran acara, dan pada masa yang sama mengekalkan keselamatan serta kesihatan semua pihak yang terlibat dengan mengenakan SOP ketat yang ditetapkan kerajaan di semua acara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama Beliau berkata kempen itu memperkenalkan idea-idea utama yang merangkumi idea ‘Meet Outside the Box’, ‘Three’s a Crowd’, ‘Nature Calls’, ‘Go Virtual or Go Home’, ‘Be Picky, You Deserve It’ dan ‘Drink Responsibly’. – Bernama