Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkah silat Puteri Perak cilik curi tumpuan

    KUALA LUMPUR – Hadir dengan persalinan Puteri Perak lengkap bertengkolok di kepala, kelibat anak kecil berusia lapan tahun ini mencuri perhatian ramai pada Festival Himpunan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia 2017 yang berlangsung baru-baru ini.

    Dengan rambut ikal mayang hampir melepasi paras lutut, Nur Qaseh Sofea Mohamad Afzanizam tidak betah bermain anak patung seperti kanak-kanak seusianya, sebaliknya lebih gemar berlatih langkah silat yang dipelajari sejak berusia empat tahun.

    “Ayah dan ibu juga belajar silat dan kami akan berlatih bersama pada masa lapang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di acara tersebut yang berlangsung di Muzium Negara, hari ini.

    Nur Qaseh Sofea yang bernaung di bawah Pertubuhan Seni Silat Harimau Gayong Malaysia turut menyimpan hasrat mempelajari ilmu mempertahankan diri warisan Melayu itu hingga ke peringkat tertinggi.

    Ibunya Hasnita Hashim, 31, berpendapat pendedahan dan galakan kepada anak-anak untuk mempelajari ilmu silat sejak kecil amat penting bagi menanam minat dan membentuk jati diri mereka.

    Para peserta cilik bersiap sedia untuk membuat persembahan seni silat mempertahankan diri pada Festival Himpunan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Bernama
    Para peserta cilik bersiap sedia untuk membuat persembahan seni silat mempertahankan diri pada Festival Himpunan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Bernama
    Pesilat cilik Nur Qaseh Sofea Mohamad Afzanizam, lapan tahun (kiri) tersenyum ketika melihat persembahan seni silat mempertahankan diri pada Festival Himpunan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia. – Bernama
    Pesilat cilik Nur Qaseh Sofea Mohamad Afzanizam, lapan tahun (kiri) tersenyum ketika melihat persembahan seni silat mempertahankan diri pada Festival Himpunan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia. – Bernama
    Festival anjuran Persatuan Dunia Silat Melayu Malaysia bertujuan memberi pendedahan terutama kepada golongan muda tentang seni silat selain mempromosikan budaya dan warisan tempatan kepada pelancong. – Bernama
    Festival anjuran Persatuan Dunia Silat Melayu Malaysia bertujuan memberi pendedahan terutama kepada golongan muda tentang seni silat selain mempromosikan budaya dan warisan tempatan kepada pelancong. – Bernama

    “Sekurang-kurangnya perlu ada seorang dalam kalangan ahli keluarga kita yang tahu ilmu silat agar warisan ini tidak akan luput ditelan zaman serta kekal menjadi identiti bangsa,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

    Hasnita yang telah mempelajari ilmu silat selama 10 tahun turut menyarankan kaum wanita menguasai ilmu itu bagi tujuan melindungi dan mempertahankan diri.

    “Kita pun sedia maklum, wanita sering menjadi sasaran dalam kes-kes jenayah, tidak ada perkataan terlewat untuk belajar, saya sendiri mula melibatkan diri selepas berkahwin,” katanya.

    Terdahulu, lebih 1,000 peserta dari pelbagai pertubuhan silat seluruh Malaysia berhimpun dan membuat persembahan seni mempertahankan diri di festival tersebut.

    Festival sehari anjuran Persatuan Dunia Silat Melayu Malaysia itu bertujuan memberi pendedahan terutama kepada golongan muda tentang seni silat selain mempromosikan budaya dan warisan tempatan kepada pelancong. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda