Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sentiasa mengikuti secara rapat akan perkembangan landskap pendidikan tinggi global serta dinamiknya pasaran kerja semasa dan telah mengambil langkah-langkah strategik untuk memantapkan kurikulum dan ko-kurikulumnya agar sentiasa seiring dengan tuntutan semasa dan keperluan masa hadapan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-15 UNISSA di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.
Beliau seterusnya menyembahkan bahawa antara inisiatif utama yang diambil oleh UNISSA pada tahun ini adalah penubuhan sebuah fakulti baharu yang bersifat interdisiplin, iaitu Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan.
Fakulti ini mengintegrasikan dua disiplin ilmu yang dihasratkan akan mampu menghasilkan graduan yang berkebolehan tentang perkara berkaitan piawaian atau standard dalam industri halal serta dalam bidang pelancongan mampan yang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan komuniti antarabangsa.
Selain itu, UNISSA juga akan memperkenalkan program baharu peringkat siswazah di bawah Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam yang mana program berkenaan dinamakan Program Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah kerja Islam Sosial.

Program itu dirangka bagi memenuhi keperluan sektor sosial yang kian berkembang, lebih-lebih lagi bagi menyediakan tenaga kerja yang profesional, berakhlak mulia dan mempunyai empati tinggi terhadap kesejahteraan masyarakat.
Hal ini selaras dengan aspirasi dan komitmen UNISSA yang mendukung prinsip ‘mencorak khayra ummah (sebaik-baik umat).’
Menurut Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan, UNISSA juga pada tahun ini akan membuka lembaran baharu dengan menggunakan jalinan keakraban rakan strategik bagi memperkenalkan Program Ijazah Dual Sarjana Muda secara kolaboratif.
Program yang bakal membuka ruang kepada para pelajar menerima dua kelayakan akademik daripada dua universiti rentas sempadan ini akan memulakan penawarannya pada sesi pengajian 2025/2026.
“Strategi ini merupakan inisiatif penting UNISSA bagi para pelajarnya memperoleh pendedahan serantau dan global, di samping mengasah daya kepimpinan untuk memimpin perubahan di masa hadapan dan juga prospek pasaran kerja yang lebih luas,” jelasnya.
Sembahnya lagi, “Dua fakulti akan menerajui pelaksanaan awal program ini, iaitu Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, di mana UNISSA yang akan bekerjasama dengan Fakulti Kewangan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menawarkan Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kewangan Islam.
“Sementara yang kedua ialah Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, di mana UNISSA akan menjalin kerjasama dengan Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam penawaran Program Ijazah Dual Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan Islam dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.”
Selaras dengan usaha pemantapan kurikulum, jelasnya, UNISSA juga telah mengambil langkah memperkukuh pelaksanaan kursus ko-kurikulum dengan penjenamaan baharu yang lebih progresif yang dikenali sebagai FIKRA, iaitu singkatan bagi Framework for Integrating Knowledge, Readiness and Advancement.
Menurut beliau, FIKRA tidak hanya berperanan membimbing pelajar dalam aspek kepimpinan, kerjasama berpasukan dan kemahiran insaniah, tetapi juga menjadi platform untuk meneroka potensi diri dan bakat para pelajar dalam pelbagai bidang sesuai dengan keperluan semasa dan sebagai persiapan pelajar UNISSA dalam menghadapi realiti kebolehkerjaan yang semakin mencabar.
Seterusnya, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan turut menyembahkan perkembangan dan pencapaian universiti berkenaan pada majlis tersebut.

