Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkawi dihiasi warna ASEAN sempena AMM

    LANGKAWI, 16 JAN – Sebagai persediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi delegasi Permukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) yang bermula pada Sabtu ini, pulau peranginan Langkawi dipenuhi dengan logo dan gegantung ASEAN.

    Permukiman dua hari itu menandakan mesyuarat peringkat menteri pertama ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bagi 2025, yang menjadi pembuka tirai bagi tahun yang sibuk dan penting.

    Di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, tetamu dan kenamaan yang tiba disambut dengan mesej tertera, ‘Selamat Datang. Langkawi Mengalu-alukan Semua Delegasi ASEAN.’

    Logo dan gegantung ASEAN dipamerkan dengan jelas di pulau ini bagi menyambut lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota selain Timor-Leste, selaku negara pemerhati ASEAN.

    Logo Pengerusi ASEAN 2025, yang menggunakan warna biru, merah, kuning dan putih, mencerminkan warna utama bendera semua negara anggota ASEAN, menekankan tema perpaduan dan menarik perhatian orang ramai serta delegasi.

    AMM dijadualkan bermula pada Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi. – Bernama

    Diinspirasikan oleh bunga kebangsaan Malaysia, Hibiscus rosa-sinensis (Bunga Raya), logo tersebut menyerlahkan kekayaan budaya negara ini sambil mencerminkan perpaduan dan identiti komuniti ASEAN. Lima kelopak bunga yang melengkung ke dalam dan merangkul logo ASEAN di tengah-tengah menggambarkan komitmen Malaysia untuk memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

    AMM dijadualkan bermula pada Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) manakala Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN akan diadakan pada Sabtu.

    Permukiman itu akan menjadi mesyuarat utama pertama di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

    Dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program utama di seluruh negara tahun ini.

    Bagi menyokong perwakilan dan meningkatkan penglibatan awam semasa Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, meja bantuan 24 jam ditubuhkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda