Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkawi raih hasil RM20 juta

    LANGKAWI, 31 Okt – Langkawi meraih hasil melebihi RM20 juta melalui penganjuran Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2018 yang berlangsung selama tiga hari, pada bulan lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin berkata ia adalah penambahan kepada jangkaan nilai perdagangan melebihi RM100 juta daripada penjualan pakej pelancongan sepanjang penganjuran acara itu dari 12 hingga 14 September lepas, melibatkan 1,500 delegasi daripada 70 negara.

    “Kebanyakan delegasi menyambung tinggal di Langkawi selama empat hari selepas acara itu berakhir dengan mengambil pakej pasca lawatan selain membuat lawatan sendiri,” katanya kepada Bernama.

    LADA turut menganjurkan Lawatan Diraja Kedah-Perlis menampilkan beberapa destinasi menarik di kedua-dua negeri itu yang menarik minat 36 pengurus kanan agensi pelancongan daripada 25 negara.

    “Menerusi lawatan tersebut, kami berhasrat menjadikan Langkawi sebagai pintu masuk untuk meneroka banyak tarikan yang ada di Kedah dan Perlis,” katanya.

    Azizan berkata edisi PATA Travel Mart tahun ini juga menyediakan laluan kepada pembangunan modal insan dalam industri pelancongan pada masa depan apabila ia turut mengadakan simposium belia pada permulaan acara itu yang bertemakan ‘Inspiring Tourism Leaders of Tomorrow’. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda