Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Dalam usaha meningkatkan tadbir urus Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) ke arah yang lebih efisien, cekap, dinamik dan berdaya saing, Jawatankuasa Tertinggi (JKTT) PGGMB telah melantik seramai 25 orang jawatankuasa tadbir (JKT) yang baharu bagi membantu pengurusan dan pentadbiran persekutuan berkenaan mengikut bidang tugas masing-masing berlandaskan undang-undang dan perlembagaan persekutuan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, ahli-ahli JKT menerima surat lantikan mereka dalam majlis penyerahan surat lantikan yang berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, Bandar Seri Begawan pada 1 Ogos lalu.
Pada majlis berkenaan, surat lantikan para ahli JKT telah disampaikan oleh Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri.
Beliau menyatakan harapan bahawa dengan lantikan JKT ini, ia akan dapat memberikan komitmen, sokongan dan kerjasama yang padu kepada JKTT sesi 2025-2028 demi kejayaan dan kecemerlangan PGGMB.
Semasa majlis berkenaan, sesi taklimat ringkas mengenai Carta Organisasi PGGMB telah disampaikan oleh Pengerusi Tetap PGGMB, Hajah Hanipah binti Haji Apong.
Carta itu memudahkan setiap JKT memahami mengenai pola perjalanan pengurusan dan pentadbiran persekutuan itu dengan lebih jelas.
Sesi soal jawab juga diadakan yang menjurus tugas dan tanggungjawab JKT di mana mereka yang dipilih telah memberikan serta menyatakan respons positif bagi
sama-sama memaju dan menjayakan PGGMB.






