FRANKFURT, 4 SEPT – Canselor Jerman, Olaf Scholz hari ini berkongsi gambar dirinya memakai penutup mata selepas mukanya tercedera semasa berjoging – mencetuskan gelombang jenaka berkenaan lanun dalam talian.
Scholz mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh ketika berlari pada Ahad, memaksa beliau membatalkan beberapa temu janji pada hari tersebut.
Canselor itu berkongsi gambar di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, yang menunjukkan beliau memakai penutup mata hitam besar di mata kanannya, dengan kesan calar merah kelihatan di sekelilingnya.
“Terima kasih atas ucapan selamat, ia kelihatan lebih teruk daripada perkara sebenar!” katanya di bawah gambar tersebut di akaun rasmi beliau.
“Saya tak sabar untuk melihat meme,” tambahnya.

Dan terdapat banyak meme yang muncul, ramai yang membandingkannya dengan seorang lanun.
Ada yang menunjukkan lanun kartun memakai penutup mata dengan sebilah pedang pendek, manakala yang lain menunjukkan lanun di roda kapal.
Terdapat juga banyak mesej yang mendoakan beliau cepat sembuh, dengan tweetnya mendapat lebih 9,000 suka dan lebih daripada 2,000 komen sejurus selepas ia disiarkan.
Walaupun mengalami kecederaan, Scholz – yang telah menjadi pelari tetap selama beberapa tahun, berada dalam keadaan yang baik, kata jurucakapnya, Steffen Hebestreit.
Beliau juga bercadang untuk menghadiri temu janji yang dijadualkan termasuk lawatan ke pameran kereta IAA di Munich esok dan ucapan di parlimen pada Rabu.
“Beliau berada dalam keadaan yang baik,” kata Hebestreit dalam sidang akhbar biasa.
“Beliau berada dalam mood yang baik pagi ini, walaupun masih kelihatan agak lebam.” – AFP