Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lanun Somalia rampas bot pukat tunda Sri Lanka

    COLOMBO, 28 JAN – Lanun Somalia yang disyaki telah menaiki dan merampas bot pukat tunda Sri Lanka bersama enam anak kapal dalam serangan terkini ke atas perkapalan di Lautan Hindi, kata tentera laut Colombo hari ini.

    “Menurut maklumat kami, mereka telah ditangkap oleh lanun Somalia,” kata jurucakap tentera laut Sri Lanka, Gayan Wickramasuriya, sambil menambah bahawa Lorenzo Putha-4 telah dirampas kelmarin kira-kira 840 batu nautika tenggara ibu negara Somalia, Mogadishu.

    Pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman telah melancarkan beberapa serangan di Laut Merah dan Teluk Aden yang menyasarkan kapal yang berkaitan dengan Israel sebagai tindak balas terhadap perang Israel terhadap kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

    Pasukan tentera laut antarabangsa telah dilencongkan ke utara dari Teluk Aden ke Laut Merah, mencetuskan kebimbangan lanun bangkit mengambil kesempatan, dengan kes pertama lanun Somalia yang berjaya sejak 2017 direkodkan pada Disember.

    “Sri Lanka telah memaklumkan Pasukan Maritim Gabungan,” kata Wickramasuriya kepada AFP, merujuk kepada gabungan anti-lanun antarabangsa.

    Beliau berkata tentera laut negara jiran India sudah menghantar kapal perang untuk menyiasat, manakala tentera laut Sri Lanka juga sedang menyediakan kapal untuk pergi ke kawasan itu.

    Serangan lanun di luar pantai Somalia memuncak pada tahun 2011 – dengan lelaki bersenjata melancarkan serangan sejauh 3,655 kilometer dari pantai Somalia di Lautan Hindi – sebelum jatuh mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Bulan lalu lanun Somalia merampas kapal pengangkutan besar MV Ruen. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda