VIENTIANE, 19 SEPT – Kementerian Pertanian dan Perhutanan Laos telah menasihatkan untuk mengurangkan import sayur-sayuran tertentu dan hasil pertanian lain untuk membantu meningkatkan hasil tanaman itu di Laos sambil mengatasi inflasi.
Pengusaha pertanian di Laos dapat menghasilkan kira-kira 6.53 juta tan beras, sayur-sayuran dan hasil pertanian lain setiap tahun, kata Menteri Pertanian dan Perhutanan, Phet Phomphiphak, kepada mesyuarat pegawai kerajaan dan wakil sektor swasta, yang diadakan di ibu negara Laos, Vientiane, baru-baru ini, mengikut laporan Laopattana hari ini.
Angka itu merangkumi 3.72 juta tan beras, 2.31 juta tan sayur-sayuran dan tanaman tunai dan 507,644 tan daging, ikan dan telur. Kuantiti itu membolehkan pengambilan purata tahunan per kapita sebanyak 68.2 kilogram, katanya.
Sebahagian besar makanan yang dihasilkan di Laos dijual atau digunakan oleh keluarga petani, manakala sesetengah disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan petani masih menggunakan kaedah tradisional untuk menanam tanaman dan ternak dan sangat bergantung pada keadaan cuaca bermusim, bermakna bekalan hasil segar boleh menjadi tidak menentu. – Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P14-E-WEB-FREEPIK_20092023.jpg)