Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laos ambil alih peranan Pengerusi ADMM, mesyuarat berkaitan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Mesyuarat menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) ke-10 yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto, berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta di Jakarta, Republik Indonesia, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri pertahanan dan wakil dari negara-negara ASEAN dan negara-negara ahli ADMM-Plus serta Timor Leste selaku negara pemerhati bagi ADMM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, yang mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat ADMM ke-17 pada 15 November telah menghadiri Mesyuarat ADMM-Plus ke-10.

    Turut menyertai ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin selaku ketua Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM-Plus) Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan.

    Mesyuarat ADMM-Plus ke-10 telah meneliti laporan daripada Sekretariat ASEAN mengenai perkembangan terkini ASEAN.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    Menteri-menteri pertahanan juga bertukar-tukar pandangan berkenaan persekitaran keselamatan serantau dan antarabangsa di mana negara-negara ahli ADMM-Plus mengesahkan komitmen mereka terhadap keamanan dan kestabilan serta mengakui peranan signifikan ASEAN dalam memperkuatkan perpaduan, kerjasama praktikal dan multilateralisme.

    Semasa mesyuarat itu, Republik Indonesia selaku pengerusi telah mengumumkan gandingan baharu bagi pengerusi bersama Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus (EWG) bagi kitaran 2024-2027, di mana Negara Brunei Darussalam akan mempengerusikan bersama kitaran ke-5 ADMM-Plus EWG on Peacekeeping Operations bersama Republik Rakyat China.

    Upacara penyerahan jawatan Pengerusi ADMM dari Republik Indonesia kepada Republik Demokratik Rakyat Laos secara rasminya menutup pengerusian Republik Indonesia bagi ADMM 2023.

    Republik Demokratik Rakyat Laos akan mengambil alih peranan Pengerusi ADMM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan untuk 2024 dengan pengendalian Mesyuarat ADMM Retreat, ADMM ke-18 dan ADMM-Plus ke-11 masing-masing dijadualkan pada Mac dan November 2024.

    Tema bagi ADMM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan pada 2024 adalah ASEAN: Together for Peace, Security and Resilience.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda