Saturday, April 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laos ambil langkah untuk keluar daripada status negara kurang maju

    VIENTIANE, 25 APRIL – Kementerian Luar Laos telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi Pelaksanaan Pelan Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Negara-negara Kurang Maju (LDC), dengan tumpuan kepada persediaan negara itu untuk keluar daripada status LDC menjelang 2026, lapor Xinhua.

    Mesyuarat yang diadakan di sini kelmarin itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Laos, Thongsavanh Phomvihane dan dihadiri wakil-wakil daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pejabat PBB di Laos.

    Menurut laman berita tempatan Lao Phattana News hari ini, mesyuarat itu meneliti laporan kemajuan dan draf penilaian kesiapsiagaan, selain peserta turut bertukar pandangan dan cadangan berhubung tahap persediaan negara serta proses peralihan.

    Laos telah menggariskan matlamat dan prinsip Pelan Tindakan PBB dalam strategi pembangunan nasionalnya, bermula dengan Pelan Tindakan Doha bagi tempoh 2022-2031 dan menubuhkan jawatankuasa pemandu kebangsaan untuk menyelaras pelaksanaan usaha itu. Laos kini sedang menyediakan satu penilaian kesiapsiagaan dengan sokongan PBB bagi menilai tahap kesediaan negara untuk beralih keluar daripada status LDC menjelang 2026, dengan matlamat memastikan peralihan itu berjalan lancar, mampan dan tidak boleh ditarik balik. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda