Friday, November 22, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laos bakal anjur festival kraf tangan rancakkan pelancongan

    VIENTIANE, 18 JUN – Festival Kraf tangan Laos ke-23 akan diadakan di ibu negara Vientiane, untuk mempromosikan produk kraf tangan tradisional serta mewujudkan suasana perayaan di bandar itu untuk tarikan pelancong semasa Tahun Melawat Laos 2024, lapor Xinhua.

    Acara itu akan diadakan dari 26 Oktober hingga 3 November, untuk meraikan Hari Kraf tangan Kebangsaan Laos pada 1 November, lapor TV kebangsaan Laos hari ini.

    Festival itu juga akan meraikan pengiktirafan kraf tradisional Laos iaitu tenunan motif naga oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara manusia.

    Festival itu akan memberi peluang kepada masyarakat tempatan dan pembeli untuk melawat, membeli dan merasai kepelbagaian produk kraf tangan Laos, mempamerkan kemahiran tukang Laos, serta mempromosikan produk artisan tempatan dan usahawan kraf tangan dari seluruh Laos.

    Di samping itu, festival berkenaan akan menyokong dasar kerajaan Laos untuk mengurangkan kemiskinan dan mewujudkan lebih banyak hubungan dengan anggota ASEAN yang lain dari segi kraf tangan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda