VIENTIANE, 10 OKT – Penduduk Laos digesa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan kesan taufan Koinu, yang melintasi Laos kelmarin hingga 15 Oktober, membawa hujan, ribut petir dan angin kencang sekali-sekala di seluruh negara.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Sumber Semula Jadi dan Alam Sekitar Laos hari ini, hujan dan angin kencang diramalkan di wilayah Phongsaly, Huaphan dan Xieng Khuang.
Di bahagian barat laut, hujan dan angin kuat berkemungkinan berlaku di beberapa bahagian di wilayah Luang Namtha, Bokeo, Oudomxay, Luang Prabang dan Xayaboury.
Di selatan pula, ribut petir dan angin kencang akan melanda beberapa buah kawasan di wilayah Champasak, Sekong dan Attapeu. Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan ramalan kaji cuaca.
Kebanyakan rumah di wilayah Vientiane dan Xayaboury ketika ini ditenggelami air kerana hujan lebat yang berterusan, namun pihak berkuasa tempatan masih belum dapat menganggarkan jumlah kerosakan, menurut laporan.
Sejak hujung Julai hingga Ogos, wilayah di bahagian tengah dan barat laut Laos mengalami hujan lebat dengan air melimpah dari tebing sungai.
Lebih 6,000 isi rumah dan lebih 11,300 hektar tanah di 123 buah perkampungan terjejas di wilayah Khammouane. – Xinhua


