VIENTIANE, 18 Jan – Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos telah mengadakan mesyuarat kebangsaan di ibu negara semalam bagi membincangkan pelan induk pengurusan warisan dunia ‘Plain of Jars’, atau dataran kendi, dan dokumen berkaitan yang diperlukan untuk pencalonan landskap arkeologi megalitik itu bagi status warisan dunia UNESCO.
Agensi berita rasmi Laos (KPL) melaporkan dokumen dan pelan induk itu dijangka dikemukakan kepada Jawatankuasa Warisan Dunia untuk menimbangkan Plain of Jars sebagai satu warisan dunia UNESCO yang baharu pada tahun ini.
“Kerajaan dan UNESCO telah mengutamakan pencalonan Plain of Jars sebagai satu warisan dunia sejak 1998.
“Kedua-dua pihak telah mengumpul data, membincangkan dan merancang perlindungan mampan tapak warisan itu bagi memastikan tarikan pelancongan ini akan memanfaatkan industri pelancongan Laos,” kata Menteri Penerangan, kebudayaan dan Pelancongan Bosengkham Vongdara.
Sejak 2015, kementerian itu telah, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, menyenaraikan 11 tapak dataran kendi di Xieng Khuang untuk permohonan status warisan dunia, merumuskan pelan kawasan pemuliharaan dan perlindungan serta peraturan pengurusan bagi pihak berkuasa wilayah, daerah dan kampung. – Bernama