VIENTIANE, 20 SEPT – Kementerian Kesihatan Laos telah mengesahkan kes pertama cacar monyet di negara itu, dan menyeru pegawai kesihatan di seluruh negara untuk sentiasa berwaspada terhadap lebih banyak kes virus tersebut, lapor Xinhua.
Seorang lelaki yang didapati terjangkit cacar monyet selepas melakukan perjalanan dari negara jiran, kini sedang dalam pemantauan di sebuah hospital di ibu negara Laos, Vientiane, menurut notis yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Laos kelmarin.
Kementerian tersebut berkata, lebih banyak kes mungkin dapat dikesan di Laos kerana jumlah orang yang melancong ke negara lain agak tinggi, termasuk di mana kes virus itu telah dilaporkan.
Bagi mengelak wabak, kementerian telah meminta jabatan kesihatan di wilayah-wilayah yang bersempadan dengan negara-negara jiran untuk bertindak terhadap penyakit itu. – Bernama
