Oleh Haji Asyraf Ali
REPUBLIK Demokratik Rakyat Laos (Lao PDR) terletak di Asia Tenggara, dengan penduduknya berjumlah kira-kira 6.5 juta. Jumlah kawasannya seluas 236,000 kilometer persegi di mana dua pertiga merupakan kawasan bergunung-ganang. Lao PDR juga sebuah negara yang dikelilingi daratan, yang berkongsi sempadan dengan lima buah negara, iaitu Republik Rakyat China di Utara, Kemboja di Selatan, Republik Sosialis Vietnam di Timur, Thailand di Barat dan Republik Kesatuan Myanmar di Barat Laut.
Dari segi penduduk masyarakat Lao PDR, ianya terdiri daripada 49 kumpulan etnik, tinggal berselerak di seluruh negara dan dikelaskan kepada empat kumpulan etnik-linguistik, iaitu Lao-Tai, Mon-Khmer, Hmong-Imien, Sino-Tibet. Penduduk berbilang etnik Laos ini hidup dengan aman dan harmoni serta mempunyai perpaduan dan hak yang sama dari segi undang-undang.
Lao PDR mempunyai kawasan yang bersilang-menyilang di antara sungai dan anak sungai. Yang terbesar adalah Sungai Mekong yang merupakan ciri geografi utama di kawasan Barat. Manakala di kawasan Selatan, Sungai Mekong mencecah 20 kilometer lebar, mewujudkan satu kawasan dengan beribu-ribu pulau kecil. Dianggarkan 60 peratus daripada air yang memasuki sistem Sungai Mekong berasal dari Lao PDR. Sungai dan anak sungai berkenaan memberikan potensi besar kepada pembangunan hidrokuasa dengan 51 peratus daripada potensi tenaganya adalah di lembah Mekong, yang boleh didapati di Lao PDR.
Manakala dari segi iklimnya, Lao PDR pada umumnya mempunyai iklim tropika dengan dua musim berlainan, musim hujan (Mei-Oktober) dan musim kering (November-April). Suhu purata tahunan adalah kira-kira 28 darjah Celsius, meningkat kepada maksimum 38 darjah Celsius pada bulan April dan Mei. Hujan yang turun dengan jumlah tertinggi berlaku di kawasan Selatan Laos iaitu 3,700 milimeter dalam setahun. Di Vientiane, hujan yang turun adalah kira-kira 1,500-2,000 milimeter, dan di wilayah Utara hanya 1,000-1,500 milimeter.
Ekonomi
Kerajaan Laos, salah satu daripada beberapa negara-negara komunis yang masih mempunyai satu parti, mula mengagihkan kuasa pusat dan menggalakkan perusahaan swasta pada tahun 1986. Pertumbuhan ekonomi mencatat enam peratus secara purata dari tahun 1988-2008 (kecuali ketika tempoh kemerosotan yang tidak kekal lama berpunca daripada krisis kewangan Asia yang bermula pada tahun 1997). Pertumbuhan Laos baru-baru ini antara yang berkembang paling pesat di Asia dan mencatat hampir lapan peratus secara purata setahun dalam tempoh satu dekad lalu.




Meskipun begitu, Laos tetap sebuah negara dengan infrastruktur yang kurang membangun, terutamanya di kawasan luar bandar. Namun ia mempunyai sistem jalan raya asas yang meningkat maju, manakala telekomunikasi talian darat masih terhad di dalam dan luar bandar. Bekalan elektrik disediakan kepada 83% daripada penduduk. Pertanian, dikuasai oleh penanaman padi di kawasan tanah rendah, menyumbang kepada kira-kira 25% daripada KDNK dan 73% daripada jumlah pekerjaan.
Ekonomi Laos juga banyak bergantung pada eksport sumber asli yang intensif. Ekonominya telah menerima faedah daripada pelaburan asing yang berprofil tinggi dalam empangan hidrokuasa di Sungai Mekong, perlombongan tembaga dan emas, pembalakan dan pembinaan, walaupun beberapa projek dalam industri berkenaan telah menerima kritikan disebabkan kesannya ke atas alam sekitar.
Laos memperoleh status Perhubungan Perdagangan Normal dengan AS pada tahun 2004 dan memohon faedah perdagangan Sistem Pilihan Umum pada 2013 selepas diterima menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia pada awal tahun itu. Laos juga baru-baru ini telah mempengerusikan sidang kemuncak ASEAN selama setahun pada Januari 2016 dengan wawasan ‘Menukar Wawasan menjadi Realiti untuk Komuniti ASEAN yang Dinamik’.
Laos kini sedang dalam proses untuk melaksanakan sistem percukaian nilai tambahan. Kerajaan komited untuk menambah profil negara itu di kalangan pelabur asing dan telah menubuhkan zon ekonomi khas dilengkapi dengan insentif cukai yang banyak.
Potensi Laos dalam ASEAN
Laos atau dahulunya dikenali sebagai ‘Lan Xang’ yang bermakna ‘negeri seribu gajah’. Ia telah menjadi sebahagian daripada ASEAN pada tahun 1997. Pertumbuhan ekonomi Laos sejak bergabung dengan ASEAN terus meningkat, dan menyasarkan untuk keluar dari Least Developed Countries (LDCs) pada tahun 2020.
Pertumbuhan ekonominya juga dapat dilihat dari kenaikan Pendapatan Negara Kasar (gross national income-GNI) per kapita dari AS$280 pada tahun 2000 kepada AS$1,600 pada tahun 2014 menurut Bank Dunia.
Pada awal pembangunannya, Laos banyak menerima bantuan dan pelaburan dari pelbagai negara penyumbang dan badan-badan kewangan dunia. Dengan bantuan itu, jumlah perekonomiannya semakin meningkat dalam tempoh satu dekad ini. Pada masa ini, Laos cuba mengejar pembangunannya dengan membuka peluang sebesar-besarnya kepada pelabur-pelabur asing. Hal tersebut dapat dilihat dan pelbagai pembangunan zon ekonomi telah ditubuhkan di seluruh wilayahnya terutama yang bersempadan dengan negara-negara jirannya.
Keutamaan pemerintah Laos dalam membangun ekonomi negaranya juga dapat dilihat dari laman web yang dibuat bagi kemudahan proses pelaburan dan ekport-import iaitu www.investlaos.gov.la dan www.laotradeportal.gov.la.




Laos juga telah menjadi anggota World Trade Organization (WTO) pada Februari 2013 dan mendapatkan special and differential treatment (SnD) dari WTO sebagai negara LDCs.
Pemerintah Laos bersama-sama dengan pelabur pada masa ini telah membangunkan 10 zon ekonomi untuk memudahkan para pelabur dalam melakukan pelaburan mereka. Pembangunan zon ekonomi ini juga diikuti dengan pembangunan insfrastruktur sebagai pendukungnya. Kebanyakan pelabur yang membuat pelaburan di Laos adalah berasal dari China, diikuti dengan Thailand dan Vietnam.
Laos merupakan satu-satunya negara landlocked di ASEAN, yang tidak mempunyai kawasan lautan. Pada zaman dahulu, kawasan geografinya ini dianggap sebagai penghalang bagi kemajuan negara itu. Namun kini, Laos sedang memanfaatkan posisi geografinya yang berada di tengah-tengah daratan ASEAN dan menjadi penghubung bagi negara-negara di sekitarnya, atau dikenali sebagai landlink country.
Konsep tersebut diwujudkan dalam projek ASEAN Connectivity. Laos akan menjadi sebahagian daripada projek Singapore-Kunming Rail Links (SKRL) yang menghubungkan Singapura sehingga Kunming, China.
Laos juga bercita-cita untuk menjadi ‘battery of Southeast Asia’ iaitu sebagai pengeksport elektrik dari PLTA (yang dibangunkan di sungai-sungai di sana) kepada negara-negara jirannya. Laos telah membangun 10 projek PLTA di mana yang terbesarnya adalah Xayabouri yang akan menghasilkan 1.285 megawatt elektrik.
Potensi Laos seterusnya adalah pelancongan. Keindahan alam Laos yang masih mengekalkan keindahan alam semulajadinya telah menjadi daya tarikan bagi pelancong-pelancong asing sama-ada dari Eropah, Australia dan Asia. Jumlah pelancong asing ke Laos meningkat sebanyak 18 peratus setiap tahun sejak tahun 1994 sehingga 2014. Pada tahun 2000, jumlah pelancong yang mengunjungi Laos adalah seramai 737,208 orang dan kemudian meningkat kepada 4,158,000 orang pada tahun 2014.
Kebanyakan pelancong asing yang datang berkunjung ke Laos adalah berasal dari negara-negara ASEAN, terutama negara-negara sekitar Laos. Pada tahun 2014, Kementerian Pelancongan Laos mencatatkan bahawa pendapatan negara dari hasil pelancongan itu adalah bernilai AS$641 juta. Hal tersebut telah mendorong pertumbuhan ekonomi Laos dan menjadikan sektor pelancongan sebagai penghasil kedua terbesar bagi negara itu.
Antara tempat pelancongan yang sering menjadi kunjungan para pelancong adalah seperti Pha That Luang, Wat Xieng Thong, Buddha Park, Wat Si Saket, Phu Chi FA, Phou Si, Bolaven Plateau, Vat Phou, Patuxai, Museum Lao, Luang Prabang, Sungai Mekong dan That Dam.
Dari segi kebudayaannya pula, agama Theravada telah banyak mempengaruhi kebudayaan Laos. Pengaruhnya dapat terlihat pada bahasa, seni, sastera, seni tarian dan lain-lain lagi.
Muzik Laos didominasi oleh alat musik nasionalnya, disebut khaen (sejenis pipa bambu). Sebuah kumpulan muzik umumnya terdiri dari penyanyi (mor lam) dan seorang pemain khaen (mor khaen) bersama pemain rebab dan pemain instrumen lain. Lam saravane adalah sejenis muzik paling popular di antara muzik-muzik di Laos. Dengen kesemua potensi ini, ia diharap akan dapat memacu pertumbuhan negara ini, sekaligus pembangunan ASEAN dan menjadi tumpuan di seantero dunia terutamanya dalam menyambut 50 Tahun penubuhan ASEAN ini.