Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laos perkenal pelan tindakan strategik pertumbuhan serantau

    VIENTIANE, 7 OKT – Forum Pelaburan ASEAN (AIF) 2024 di Laos bertujuan melonjakkan ASEAN sebagai destinasi pelaburan utama selain menempa hubungan dengan kalangan pelabur dan ekonomi global.

    Antara tumpuan utama AIF 2024 adalah pelancaran Pelan Tindakan Pelaburan Serantau ASEAN (2025-2030).

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith berkata Pelan Tindakan Pelaburan Serantau ASEAN itu merupakan satu inisiatif penting.

    “Pelan Tindakan Pelaburan Serantau ASEAN adalah satu usaha penting untuk meletakkan ASEAN sebagai destinasi pelaburan terpadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pelan itu menetapkan satu rangka tindakan strategik sebagai panduan ASEAN dalam usaha menarik pelaburan, menggalakkan pembangunan mampan dan seterusnya menyepadukan ASEAN sebagai destinasi pelaburan tunggal di bawah Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN dan Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025.

    Sementara itu, Saleumxay turut menekankan kepentingan pelaburan langsung asing (FDI) dalam memajukan pembangunan Laos, khususnya dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur dan transformasi digital.

    “Laos telah menarik pelaburan asing yang besar dalam projek tenaga hidro, solar dan angin, yang menyumbang kepada matlamat tenaga bersih rantau ini,” katanya.

    AIF 2024 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perancangan dan Pelaburan Laos, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Sekretariat ASEAN serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP). – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda