PHNOM PENH, 14 FEB – Kerajaan wilayah mula mengambil langkah menangani ancaman jenayah siber yang semakin meningkat dengan memutuskan bekalan elektrik dan menyekat perkhidmatan telekomunikasi ke pusat-pusat jenayah siber yang disyaki.
Laos kini menjadi negara kedua selepas Thailand yang melaksanakan dasar ketat melarang syarikat telekomunikasi daripada menawarkan perkhidmatan ke luar negara tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa berkaitan.
Pada 12 Februari, Kementerian Teknologi dan Komunikasi Laos mengeluarkan notis melarang rangkaian telekomunikasi tempatan daripada mempromosikan perkhidmatan mereka ke luar negara tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Di bawah arahan baharu ini, individu, entiti perniagaan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan Internet dilarang sama sekali daripada mewujudkan sambungan antarabangsa tanpa kelulusan kementerian.
“Tindakan ini bertujuan membanteras aktiviti penipuan, termasuk skim penipuan yang dikendalikan oleh kumpulan jenayah dan sindiket pusat panggilan,” menurut kementerian itu seperti dilaporkan Vientiane Times.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P11-3C-Envato_15022025.jpg)
Terdahulu, kerajaan telah mengurangkan bekalan elektrik ke daerah Tachileik di Negeri Shan, Myanmar, yang dikenali sebagai pusat kegiatan sindiket penipuan pusat panggilan.
Langkah drastik Laos itu diambil selepas Thailand menggantung bekalan elektrik, perkhidmatan Internet dan bekalan tenaga pada 5 Februari ke lima bandar di sempadan Myanmar bagi membanteras jenayah tersebut.
Pegawai keselamatan serantau kini memperketat undang-undang dan mengambil tindakan tegas bagi menangani peningkatan kes penipuan pinjaman dalam talian, perjudian haram dan pelaburan palsu yang menyebabkan ramai mangsa kehilangan wang.
Selain itu, aktiviti jenayah lain seperti pemerdagangan manusia yang melibatkan pekerja muda untuk dijadikan tenaga kerja di pusat penipuan serta pengedaran dadah juga semakin meningkat. – Bernama