VIENTIANE, 26 DIS – Kerajaan Laos dan Thailand komited memperkukuh kerjasama dalam usaha bersama membanteras dadah dan menangani isu berkaitan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Wakil kerajaan dari kedua-dua negara menghadiri Mesyuarat Menteri Ke-20 Laos-Thai mengenai Kerjasama Kawalan Dadah yang berlangsung di ibu negara Laos, Vientiane, kelmarin, menurut laporan Kementerian Keselamatan Awam Laos.
Mesyuarat itu menilai pembangunan mekanisme dan saluran untuk penyelarasan, perkongsian maklumat, risikan bersama, penyiasatan, dan pembanterasan aktiviti dadah di peringkat pusat, wilayah dan tempatan. Usaha itu bertujuan meningkatkan keberkesanan operasi kawalan dadah secara menyeluruh.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan langkah memperluas kerjasama untuk meningkatkan keberkesanan penyiasatan, memutuskan rangkaian kewangan yang berkaitan, serta mengekang perdagangan dadah melalui rangka kerja perundangan yang lebih kukuh.
Delegasi Laos dan Thailand turut berikrar untuk memperkukuh mekanisme kerjasama antara wilayah sempadan serta pejabat penyelarasan kawalan dadah di kawasan sempadan. Mereka juga bersetuju untuk membangunkan perkampungan bebas dadah di sepanjang sempadan Laos-Thai.
Kerjasama dalam ujian dan penyelidikan berkaitan dadah turut disarankan, termasuk perkongsian maklumat mengenai rawatan dan pemulihan penagih dadah, sama ada di peringkat komuniti mahupun pusat rawatan dan pemulihan.
Mesyuarat itu juga menekankan perlunya usaha yang lebih besar untuk menangani kesan buruk dadah terhadap kumpulan sasaran tertentu, di samping menyediakan sokongan operasi, bahan, peralatan, dan sumber lain yang diperlukan bagi menjayakan usaha kawalan dadah. – Xinhua