PHNOM PENH, 30 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Laos akan membelanjakan RM5 juta (AS$1.18 juta) bagi menghapuskan penyakit parasit schistosomiasis, atau lebih dikenali sebagai demam siput (snail fever), yang menjejaskan ribuan kanak-kanak di negara itu.
Menurut kenyataan media WHO Laos, pihak berkuasa akan melaksanakan beberapa langkah dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menghentikan penularan schistosomiasis, dengan matlamat mencapai sifar jangkitan baharu yang berpunca daripada siput, haiwan atau manusia.
Schistosomiasis disebarkan oleh siput yang dijangkiti cacing parasit dan hidup dalam air tercemar.
WHO menjelaskan bahawa antara gejala penyakit itu termasuk sakit perut, hati membesar, pendarahan semasa membuang air, dan boleh menyebabkan kemandulan atau kanser sekiranya tidak dirawat.
Projek itu akan dibiayai bersama oleh Dana Pembangunan Global China dan Kerjasama Selatan-Selatan (GDF) serta Agensi Pembangunan dan Kerjasama Switzerland (SDC).
“Schistosomiasis merupakan cabaran berterusan sejak sekian lama. Walaupun pelbagai usaha pencegahan dan penghapusan dijalankan, penyakit ini masih menjejaskan ribuan orang, terutamanya kanak-kanak.
“Dana dan kerjasama baharu ini akan meningkatkan kapasiti kami serta memperkukuh langkah kawalan bagi mencapai matlamat penghapusan,” kata Menteri Kesihatan Laos, Dr Bounfeng Phoummalaysith. – Bernama
