LONDON, 17 JULAI – Lapan anak damit yang sihat dilahirkan di Britain dengan bantuan teknik eksperimen yang menggunakan DNA daripada tiga orang untuk membantu ibu mengelak daripada menularkan penyakit yang jarang berlaku kepada anak mereka, lapor penyelidik kelmarin.
Kebanyakan DNA ditemui dalam nukleus sel kita dan bahan genetik itu – ada yang diwarisi daripada ibu, sebahagian daripada bapa. Tetapi terdapat juga beberapa DNA di luar nukleus sel, dalam struktur yang dipanggil mitokondria. Mutasi berbahaya itu boleh menyebabkan pelbagai penyakit pada kanak-kanak yang boleh menyebabkan kelemahan otot, sawan, kelewatan perkembangan, kegagalan organ utama dan kematian.
Ujian semasa proses persenyawaan in vitro biasanya boleh mengenal pasti sama ada mutasi itu wujud. Tetapi dalam kes yang jarang berlaku, ia tidak jelas.
Penyelidik telah membangunkan teknik yang cuba mengelakkan masalah dengan menggunakan mitokondria yang sihat daripada embrio penderma. Mereka melaporkan pada 2023 bahawa anak damit pertama telah dilahirkan menggunakan kaedah itu, di mana saintis mengambil bahan genetik daripada embrio ibu, yang kemudiannya dipindahkan ke dalam embrio penderma atau embrio yang mempunyai mitokondria yang sihat tetapi selebihnya DNA utamanya dikeluarkan.
“Penyelidikan terkini menandakan peristiwa penting,” kata Dr. Zev Williams, yang mengarahkan Pusat Kesuburan Universiti Columbia dan tidak terlibat dalam kerja itu. “Memperluaskan rangkaian pilihan pembiakan … akan memperkasakan lebih ramai pasangan untuk meneruskan kehamilan yang selamat dan sihat,” tambahnya.
Menggunakan kaedah tersebut bermakna embrio mempunyai DNA daripada tiga orang – daripada embrio ibu, air mani bapa dan mitokondria penderma – dan ia memerlukan perubahan undang-undang United Kingdom 2016 untuk meluluskannya. Ia juga dibenarkan di Australia tetapi tidak di banyak negara lain, termasuk AS.
Pakar di Universiti Newcastle Britain dan Universiti Monash di Australia melaporkan dalam New England Journal of Medicine kelmarin bahawa mereka melakukan teknik baru dalam embrio yang disenyawakan daripada 22 pesakit, yang mengakibatkan lapan anak damit yang kelihatan bebas daripada penyakit mitokondria. Seorang wanita masih mengandung.
Salah satu daripada lapan anak damit yang dilahirkan mempunyai tahap mitokondria luar biasa yang lebih tinggi sedikit daripada jangkaan, kata Saintis Sel Stem dan Genetik Perkembangan di Institut Francis Crick, Robin Lovell-Badge, yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu. Katanya, ia masih belum dianggap tahap yang cukup tinggi untuk menyebabkan penyakit, tetapi perlu dipantau apabila anak damit itu berkembang. – AP
