Oleh Faridah Haji Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN – Baru sahaja mengeluarkan single raya terbaru pada 22 Jun yang lalu, artis-artis di bawah naungan Starmeez Event Management boleh menarik nafas lega apabila lagu Bersama Gembira di Hari Raya mendapat maklum balas yang positif.
Lagu yang di cipta sepenuhnya oleh Miennan Yunos dan susunan muzik dari Krock Studio ini memberikan suntikan segar bagi lagu-lagu raya tempatan.
“Ini merupakan lagu raya ketiga setelah Semarak Syawal Mulia dan Ceriakan Aidilfitri yang di nyanyikan oleh Maria. Saya juga berharap lagu Bersama Gembira di Hari Raya ini akan menjadi siulan ramai serta dapat menjadi evergreen seperti dua buah lagu yang sering berkumandang di stesen-stesen radio,” jelas Miennan selaku pencipta lagu tersebut.
Lagu Bersama Gembira di Hari Raya ini menghimpunkan lapan orang artis iaitu Aahil Alex, Amar Sai, Aqiel Maidin, Mazlina, Kimmy, Rieyz Bahar, Suzan Maidin dan Miennan Yunos.
Ia merupakan sebuah lagu yang memberikan kita beberapa pengajaran berguna iaitu sentiasa berbagi, saling bermaafan dan juga menyambut Aidilfitri ini dengan tidak melupakan orang yang kurang berkemampuan dan orang yang sudah tiada.
