BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seramai lapan atlet badminton bersama dua jurulatih berlepas ke Phnom Penh, Kemboja hari ini bagi menyertai Badminton Asia Southeast Asia Regional Championships 2025 yang akan berlangsung dari 7 hingga 12 Julai.
Penyertaan mereka adalah atas jemputan Badminton Asia, badan induk badminton Asia di bawah naungan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), menerusi Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD), dengan sokongan kewangan daripada Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Empat atlet akan bertanding dalam kategori bawah 15 tahun, manakala empat lagi dalam kategori bawah 19 tahun.
Kejohanan ini bertujuan memberi pendedahan kepada atlet muda negara untuk bersaing dalam suasana kompetitif bertaraf serantau, di samping meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka dalam arena sukan badminton.
Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa Program Pembangunan Bakat Kebangsaan, serta mempererat hubungan dua hala antara negara-negara Asia Tenggara menerusi sukan.
Presiden PBKBD, Awang Mohamad Zuno Kartono Haji Ali turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat jalan kepada kontinjen negara. Majlis ringkas turut diserikan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Haji Raminey bin Haji Salleh sebelum keberangkatan mereka.


