SRINAGAR, Kashmir India, 31 Jan – Tujuh orang awam dan seorang anggota separa tentera cedera dalam satu insiden serangan bom tangan di Kashmir yang dikawal India pada Khamis, kata polis.
Bom tangan itu dilemparkan ke arah anggota Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF) yang bertugas di bandar Anantnag, kira-kira 60 kilometer di selatan bandar Srinagar.
“Seramai tujuh orang awam cedera dan anggota CRPF menerima rawatan di sini,” kata seorang pegawai kesihatan di hospital daerah Anantnag kepada agensi berita Xinhua.
“Mangsa terkena serpihan peluru, seorang wanita dalam keadaan kritikal,” katanya.
Serangan itu mencetuskan panik di kawasan terbabit menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri, kata saksi. – Bernama