Monday, December 16, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan cedera dalam letupan kediaman di Czech

    PRAGUE, 16 DIS – Letupan yang berlaku di sebuah bangunan kediaman di bandar Znojmo, selatan Republik Czech, pada petang kelmarin mengakibatkan lapan orang cedera, menurut laporan pasukan penyelamat tempatan.

    “Kami telah menyelamatkan sejumlah lapan orang dari bangunan tersebut… Mereka menerima rawatan dan dibawa ke hospital oleh perkhidmatan kecemasan,” kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Moravia Selatan menerusi platform media sosial X.

    Antara mangsa yang cedera, seorang daripadanya mengalami kecederaan serius dan telah diterbangkan ke hospital dengan helikopter untuk rawatan kecemasan.

    Letupan itu berlaku di sebuah bangunan yang mengandungi sembilan unit kediaman, menyebabkan kerosakan yang meluas.

    Menurut Czech News Agency, letupan tersebut mengakibatkan runtuhan dinding depan dari tingkat pertama hingga ke kaki lima, manakala bumbung dan loteng bangunan turut mengalami kerosakan teruk.

    Pihak berkuasa menjangkakan bangunan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya perobohan separa. Susulan kejadian itu, pihak majlis perbandaran telah menyediakan penginapan kecemasan untuk penduduk yang terjejas.

    Siasatan awal menunjukkan kebocoran gas sebagai punca utama letupan tersebut. – Xinhua

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda