Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan dijatuhi hukuman mati kerana bunuh tokoh politik

    TUNIS, 26 FEB – Mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman mati ke atas lapan tertuduh kelmarin, berhubung pembunuhan tokoh pembangkang berhaluan kiri, Mohamed Brahmi pada tahun 2013, menurut laporan tempatan.

    Pertuduhan termasuk ‘cubaan mengubah ciri-ciri negara’ dan ‘menghasut konflik bersenjata,’ lapor media tempatan.

    Tiga daripada tertuduh juga menerima hukuman mati tambahan atas kesalahan ‘sengaja mengambil bahagian dalam pembunuhan yang dirancang,’ menurut laporan tersebut.

    Seorang lagi tertuduh, yang masih melarikan diri, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana ‘gagal melaporkan jenayah keganasan kepada pihak berkuasa.’

    Tunisia masih menjatuhkan hukuman mati, terutamanya dalam kes berkaitan ‘keganasan,’ walaupun moratorium de facto yang berkuat kuasa sejak 1991 bermakna hukuman tersebut secara praktiknya dikurangkan kepada hukuman penjara seumur hidup.

    Keputusan itu menandakan set pertama hukuman dalam kes pembunuhan Brahmi, yang berlaku di luar rumahnya pada 25 Julai 2013, ketika Tunisia sedang menghadapi pergolakan politik pasca-revolusi.

    Penunjuk perasaan turun ke jalan raya di seluruh negara, sementara wajah bulat dan misai tebal Brahmi menjadi simbol protes terhadap keganasan jihad.

    Brahmi, pemimpin berhaluan kiri nasionalis dari Gerakan Rakyat dan anggota Majlis Perlembagaan Tunisia, merupakan pengkritik lantang kerajaan Islam yang ketika itu dikuasai oleh Ennahdha.

    Pembunuhannya mengejutkan negara itu, lebih-lebih lagi ketika ia berlaku kurang daripada enam bulan selepas pembunuhan seorang lagi tokoh kiri terkenal, Chokri Belaid, yang turut ditembak mati di luar rumahnya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda