Lapan ditahan adakan perkumpulan sambut hari jadi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Seramai lapan individu warganegara asing telah ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan (BSB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai mengadakan perkumpulan acara sambutan hari jadi di sebuah bilik rumah pekerja di kawasan Beribi, pada 26 September lalu sekitar 8:15 malam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, hasil siasatan mendapati lapan individu tersebut terdiri daripada enam orang lelaki dan dua orang wanita yang berumur dalam lingkungan 28 sehingga 44 tahun.

Kesemua individu yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan kesemuanya segera dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi menjalani ujian saringan, ujian darah dan air kencing sebelum tindakan lanjut diambil.

Turut dirampas semasa serbuan tersebut ialah telefon bimbit para suspek bagi tujuan siasatan.

Sehubungan dengan itu, PPDB ingin mengingatkan orang ramai bahawa pihak PPDB akan bersikap tegas dan tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan perintah undang-undang yang diarahkan dan sebarang pelanggaran perintah larangan akan dihadapkan ke muka pengadilan bagi menerima hukuman yang setimpal.