QUETTA, 23 MAC- Lelaki bersenjata menembak mati empat pekerja etnik Punjabi dan empat anggota polis di barat daya Pakistan semalam, menurut pihak berkuasa, dalam pembunuhan terbaharu di wilayah yang bergolak di mana keganasan telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Serangan terhadap pekerja dari wilayah lain turut meningkat di Balochistan, dengan pemberontak menuduh mereka mengambil keuntungan dengan merompak sumber asli wilayah tersebut.
Kejadian berlaku di bandar Mangocher, daerah Kalat di wilayah Balochistan, yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.
“Penyerang yang menaiki motosikal menembak mati empat pekerja Punjabi yang sedang mengendalikan peralatan menggerudi lubang telaga,” kata pegawai tempatan, Ali Gul Imrani. Dalam kejadian berasingan, empat polis terbunuh dalam serangan hendap di Nushki, Balochistan.
Wilayah itu menyaksikan kes rampasan kereta api dramatik bulan ini yang me-ngorbankan kira-kira 60 orang, separuh daripadanya adalah puak pemisah yang mendalangi serangan itu.
Serangan itu didakwa dilakukan oleh Tentera Pembebasan Baloch (BLA), satu daripada beberapa kumpulan pemisah yang menuduh orang luar merampas sumber asli wilayah itu.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan semalam, walaupun BLA pernah mengaku melakukan serangan seumpamanya pada masa lalu. – AFP
