Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan glasier Sweden pupus, cair sepenuhnya – Pakar

    STOCKHOLM, 22 SEPT – Lapan daripada 277 glasier Sweden cair sepenuhnya pada 2024 dan kini telah pupus akibat pemanasan global, kata ketua Stesen Penyelidikan Tarfala di utara Sweden kepada AFP hari ini.

    Menurut seorang profesor glasiologi, Nina Kirchner, tiga puluh lagi glasier berada dalam risiko.

    Glasier-glasier yang telah pupus “tidak akan kembali dalam kehidupan kita dan tidak jika pemanasan global berterusan,” katanya kepada AFP.

    Kirchner dan para pengkaji lain di Stesen Penyelidikan Tarfala, berhampiran puncak tertinggi Sweden, Kebnekaise di utara negara itu, telah meneliti gambar satelit glasier setiap tahun bagi menjejak perkembangannya. Kumpulan itu turut meneliti semula data mereka dan menyimpulkan bahawa lapan glasier tersebut telah hilang, termasuk Cunujokeln di Taman Negara Vadvetjakka, manakala yang terbesar daripada lapan itu bersaiz kira-kira enam padang bola sepak.

    Lapan glasier tersebut merupakan glasier pertama yang hilang sepenuhnya di Sweden, iaitu sejak gambar satelit resolusi tinggi diperkenalkan sekitar tahun 2000, jelasnya.

    Tahun 2024 merupakan tahun paling panas yang pernah direkodkan untuk planet ini, menurut Organisasi Meteorologi Dunia.

    Penggunaan besar arang batu, minyak dan gas fosil untuk tenaga sejak revolusi perindustrian adalah pendorong utama pemanasan global yang disebabkan oleh manusia.

    Kirchner berkata, beliau tidak menjangkakan mana-mana glasier Sweden akan pupus pada 2025 kerana musim sejuk yang penuh salji dan musim panas yang pendek dengan suhu yang lebih sejuk secara keseluruhan.

    “Tetapi akan ada lebih banyak musim panas yang panas dan kita perlu bersedia dengan hakikat bahawa lebih banyak (glasier) akan hilang,” katanya. – AFP

    Lapan daripada 277 glasier Sweden cair sepenuhnya pada 2024. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda