Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan individu ditahan dalam operasi sekatan jalan raya

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Seramai lapan individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan dalam satu Operasi Sepadu Sekatan Jalan Raya (OPS NEST) yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi-agensi penguat kuasa lain baru-baru ini

    Operasi berkenaan dilaksanakan di dua lokasi strategik iaitu di Lebuhraya Seria/Panaga (NEST 1) dan kawasan Pekan Seria (NEST 2), melibatkan seramai 105 anggota dari Daerah Polis Belait, Jabatan Siasatan Kawalan Lalulintas (JSKLL) Batu 3, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).

    Semasa pemeriksaan yang dijalankan, BKN mendapati lima kesalahan berkaitan dadah termasuk memiliki dan memakan dadah terlarang, manakala JKED menahan dua individu atas kesalahan memiliki rokok seludup, minuman keras dan vape. JPD pula mengesan satu kesalahan melibatkan kenderaan dengan cermin rosak.

    Sementara itu, JSKLL turut mengeluarkan tindakan ke atas beberapa kesalahan lalu lintas seperti menggunakan tabir gelap, memandu tanpa lesen sah atau lesen yang telah mansuh, tiada insurans, pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan serta tidak memakai tali pinggang keselamatan.

    Pihak JIPK telah memeriksa seramai 317 individu daripada pelbagai kewarganegaraan, namun tiada kesalahan imigresen dikesan.

    PPDB turut mengingatkan orang awam agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan sebarang pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan dan memastikan lesen memandu serta insurans kenderaan sentiasa dalam keadaan sah.

    Kerjasama berterusan dengan pelbagai agensi penguat kuasa akan diteruskan melalui operasi seumpama ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

    ATAS & BAWAH: Suasana semasa PPDB menjalankan OPS NEST. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB
    ATAS & BAWAH: Antara barang tegahan yang telah dirampas dalam OPS NEST. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda