Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan individu terbunuh dalam nahas helikopter tentera

    ACCRA, 7 OGOS –  Dua menteri Ghana iaitu Menteri Pertahanan, Edward Omane Boamah dan Menteri Alam Sekitar, Sains dan Teknologi, Ibrahim Murtala Muhammed telah disahkan maut dalam nahas helikopter tentera di selatan negara itu, menurut kenyataan dari Pejabat Presiden, kelmarin.

    Helikopter milik tentera udara itu yang membawa tiga kru dan lima penumpang dilaporkan terhempas di kawasan hutan tebal di wilayah Ashanti ketika dalam perjalanan ke satu acara berkaitan isu perlombongan haram.

    Rakaman telefon bimbit yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan Joy News menunjukkan serpihan helikopter yang terbakar sebelum pengesahan rasmi mengenai kematian kedua-dua menteri itu.

    Turut terbunuh dalam insiden itu ialah Alhaji Muniru Mohammed, bekas Menteri Pertanian dan Timbalan Penyelaras Keselamatan Negara serta Naib Pengerusi Parti Demokratik Kebangsaan (NDC), Samuel Sarpong.

    Kesemua lapan individu di dalam pesawat jenis Z9 itu disahkan maut. Ketua Staf Presiden, Julius Debrah berkata, “Presiden dan kerajaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua wira negara yang terkorban semasa berkhidmat.”

    Gambar yang diambil daripada rakaman video ini menunjukkan orang ramai sedang menjalankan kerja-kerja di lokasi nahas helikopter tentera di Sikaman berhampiran Adansi, wilayah Ashanti, Ghana, pada 6 Ogos. – AP

    Tentera Ghana memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas, selepas pesawat berlepas dari ibu negara Accra sekitar jam 9:00 pagi waktu tempatan dan dalam perjalanan ke Obuasi.

    Boamah yang berpengalaman sebagai doktor perubatan, sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Timbalan Menteri Alam Sekitar. Beliau mengetuai Kementerian Pertahanan ketika ancaman militan di sempadan Burkina Faso semakin meningkat.

    Muhammed pula dikenali sebagai aktivis alam sekitar tegar dan mengetuai usaha membanteras perlombongan emas haram atau ‘galamsey’ yang memberi kesan besar terhadap tanah pertanian dan bekalan air negara.

    Beliau juga baru-baru ini dilantik sebagai ahli Mesyuarat Menteri Alam Sekitar Afrika (AMCEN) di Nairobi.

    Pengarah Eksekutif UNEP, Inger Andersen dalam kenyataan berkata, Muhammed adalah seorang “pejuang alam sekitar yang dihormati di Afrika dan di peringkat global.”

    Presiden Mahama menggantung semua aktivitinya bagi minggu ini dan mengumumkan tiga hari berkabung bermula Khamis, dengan semua bendera dikibarkan separuh tiang. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda