Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 23 JUN – Seramai lapan ketua kampung dari seluruh Daerah Belait telah menerima sijil pelantikan pada Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Ketua Daerah Belait bertempat di Dewan Intisar Jabatan Daerah Belait, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.
Turut hadir, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta ketua-ketua rumah panjang Daerah Belait.
Ketua-ketua kampung yang menerima sijil ialah Ketua Kampung Pandan F, Mukim Kuala Belait; Ketua Kampung Pandan A, Mukim Kuala Belait; Ketua Kampung Pandan B, Mukim Kuala Belait; Ketua Kampung Mumong C, Mukim Kuala Belait; Ketua Kampung Perumahan Negara (PN) Panaga Kawasan A, Mukim Seria; Ketua Kampung Perumahan Negara Panaga Kawasan C, Mukim Seria; Ketua Kampung Perumahan Negara Lorong Tengah Seria Kawasan 1, Mukim Seria dan Ketua Kampung Lumut II, Mukim Liang.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, diikuti ucapan perasmian disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait. Beliau menekankan peranan penting yang dimainkan oleh ketua kampung di kampung masing-masing dan berharap ketua kampung yang baru dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin masyarakat kawasan masing-masing.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil, bacaan dan penandatanganan ikrar dan ucapan daripada Ketua Kampung Lumut II, Haji Khairdon bin Haji Dahlan selaku wakil ketua-ketua kampung yang dilantik.
Majlis diakhiri dengan perasmian papan tanda ketua kampung di kediaman masing-masing.