Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-17, Fitness Zone dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyumbangkan lapan unit Automated External Defibrillator (AED) kepada lapan komuniti tempatan yang dikenal pasti memerlukan alat berkenaan.
Hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Sumbangan diterima oleh wakil dari Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Stadium Tertutup Berakas, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pusat Belia, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, Sekolah Menengah Chung Hwa, Sekolah St Andrew’s dan Universiti Brunei Darussalam. AED merupakan alat kecemasan elektronik mudah alih yang digunakan semasa kecemasan yang berfungsi membantu memerangi beberapa risiko seperti serangan jantung dan lain-lain.
Mesin berkenaan juga boleh mengenal pasti tanda-tanda masalah yang ada pada pesakit dan boleh memberi rawatan kecemasan awal seperti mereka yang mengalami serangan jantung, di mana mesin berkenaan berfungsi untuk membantu menghidupkan kembali degupan jantung pesakit.
Pemilik Fitness Zone, Wu Chun berkata, dengan adanya sumbangan unit kecemasan berkenaan, ia akan dapat memberikan kembali kepada komuniti yang telah memberikan sokongan berterusan kepada Fitness Zone dalam industri kesihatan di Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapannya itu, beliau juga menyentuh statistik Kementerian Kesihatan pada 2017 di mana, hampir 10 peratus penduduk di negara ini yang berumur sekitar 40 hingga 69 tahun mempunyai 30 peratus risiko lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung atau strok dalam 10 tahun mendatang.
Manakala itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapan ringkasnya pula mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan sumbangan yang diberikan oleh Fitness Zone.
Dengan adanya sumbangan berkenaan, ia akan dapat membantu mereka yang mempunyai risiko tinggi dan akan dapat mencegah daripada perkara-perkara yang tidak diingini, tambah beliau.
