Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan kontena Nasi Arab disasar dihantar ke Gaza bulan ini

    KUALA LUMPUR, 21 OKT – Bagi meneruskan misi kemanusiaan kepada rakyat Palestin, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia menyasarkan penghantaran lapan kontena bantuan makanan segera berteknologi pensterilan ke Gaza bulan ini.

    Misi bantuan segera di bawah inisiatif #MisiRakyatUntukGaza: Nasi Arab Untuk Gaza itu bertujuan menyediakan makanan siap dimakan yang berkhasiat dan tahan lama kepada lebih 30,000 penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan akibat konflik berpanjangan.

    Pengarah Projek Nasi Arab Untuk Gaza, Ali Ikhwan Nordin berkata setiap kontena dijangka mengandungi 1,000 pek makanan, menjadikan jumlah keseluruhan 16,800 pek untuk fasa pertama penghantaran.

    “Dalam situasi akses kepada makanan amat terhad, setiap pek Nasi Arab ini bukan sekadar santapan, tetapi simbol kasih dan solidariti rakyat Malaysia buat saudara kita di Gaza.

    “Teknologi pensterilan memastikan makanan kekal segar, selamat dimakan dan boleh disimpan lama tanpa perlu disejukkan sangat penting dalam keadaan darurat dan peperangan,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata menu Nasi Arab ayam atau daging dipilih kerana ia mudah diterima masyarakat Timur Tengah selain mengandungi sumber protein tinggi.

    Ali berkata sekiranya berlaku kelewatan atau sekatan penghantaran ke Gaza, bantuan itu akan disalurkan ke kem pelarian di Lubnan, Yaman atau Syria bagi memastikan ia tetap dimanfaatkan mereka yang memerlukan.

    Misi berkenaan menghimpunkan kerjasama pelbagai NGO termasuk Muslim Care Malaysia, Ikhlas Care, Cinta Gaza Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Azhar Care dan Our Care, dengan pengeluaran makanan dijalankan secara berperingkat sejak pertengahan bulan ini.

    Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menyokong kempen berkenaan dengan sumbangan serendah RM10 seminggu bagi memastikan kesinambungan bekalan bantuan ke wilayah bergolak itu. – Bernama

    Beberapa NGO Malaysia yang terlibat bergambar dengan pek Nasi Arab yang akan dihantar ke Gaza bulan ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda