Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 19 JULAI – Bagi menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78, sebanyak lapan kumpulan dari sekolah-sekolah agama di seluruh Daerah Belait telah berentap dalam Pertandingan Dikir Syarafil Anam, malam kelmarin.
Pertandingan yang diadakan di pentas perayaan di Tudong Saji, Kuala Belait itu dibahagikan kepada dua kategori lelaki dan perempuan, dengan empat kumpulan bertanding dalam setiap kategori.
Hadir menyaksikan pertandingan itu dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Unit Dakwah di Daerah Belait, Awang Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.
Pada acara itu, Kumpulan Ukhuwwah Fillah dari Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) berjaya meraih tempat pertama bagi kategori lelaki, manakala Kumpulan Az Zahrah dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Kumpulan Sautul Ahlam dari Sekolah Arab Belait (SAB), masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori perempuan pula, Kumpulan Nisaaun Hamra dari SAB mendapat tempat pertama, diikuti Kumpulan Wasiqa Yumna dari Sekolah Ugama Sungai Tali dan Kumpulan Nawwarah dari Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan SOAS masing-masing di tempat kedua dan ketiga.




