ISTANBUL, 24 OGOS – Lapan orang termasuk kanak-kanak maut akibat banjir kilat di beberapa wilayah Yaman sejak dua hari lalu, lapor media tempatan kelmarin, menurut agensi Anadolu (AA).
Di wilayah Hajjah di barat laut, portal 26 September yang dikendalikan pihak Houthi memetik sumber pertahanan awam sebagai berkata, sebuah rumah runtuh menimpa penghuninya di perkampungan al-Khadraa, daerah Ku’aydinah, termasuk tiga kanak-kanak.
Sementara itu, Pusat Media Keselamatan Kementerian Dalam Negeri memaklumkan semalam bahawa ‘banjir telah memusnahkan puluhan khemah sementara dan tempat perlindungan milik pelarian di daerah Abs, Hajjah.’
Di wilayah Shabwah, penduduk berkata seorang bapa dan anak lelakinya lemas Jumaat lalu di daerah Usaylan.
Beberapa jam sebelum itu, dua kanak-kanak dan seorang pemuda turut lemas dalam insiden berasingan di Shabwah dan wilayah Hadhramaut, menjadikan jumlah korban di kedua-dua wilayah itu lima orang dalam tempoh 48 jam.
Pada Selasa lalu, hujan lebat mengakibatkan banjir di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman, mencederakan beberapa orang dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Pihak berkuasa di beberapa wilayah telah mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat berterusan serta risiko banjir kilat, selain menggesa penduduk menjauhi kawasan sungai dan empangan. – Bernama


