Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan maut dalam kemalangan treler di Georgia

    ATLANTA, 15 OKT – Seorang pemandu treler telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh selepas menyebabkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa tiga orang dewasa dan lima kanak-kanak di sebatang lebuh raya di Georgia, Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa kelmarin.

    Pemandu tersebut, Kane Aaron Hammock, 33 tahun, berdepan lapan pertuduhan membunuh darjah kedua dengan kenderaan serta satu pertuduhan kematian janin akibat kemalangan kenderaan.

    Jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Georgia, Franka Young berkata Hammock turut didakwa atas kesalahan mengekori kenderaan terlalu rapat, tiada pendaftaran dan gagal memandu dengan cermat.

    Menurut pihak berkuasa, nahas berlaku pada Isnin petang apabila treler yang dipandu Hammock melanggar sebuah van Dodge di Interstate 85, Daerah Jackson, kira-kira 100 kilometer timur laut Atlanta, sehingga kenderaan itu terbakar.

    Identiti lapan mangsa yang menaiki van tersebut belum didedahkan. Young berkata salah seorang mangsa mungkin sedang hamil, namun perkara itu hanya akan disahkan selepas bedah siasat dijalankan.

    Hammock ditahan oleh Peronda Negeri Georgia dan dibawa ke Penjara Daerah Jackson. Rekod penjara menunjukkan tiada peguam disenaraikan untuk mewakilinya setakat ini, dan pejabat pembela awam tempatan belum memberikan sebarang maklum balas.

    Selain van mangsa, empat lagi kenderaan terlibat dalam apa yang digambarkan pihak berkuasa sebagai ‘rangkaian pelanggaran berantai’ selepas hentaman pertama.

    Salah satu kenderaan terbabit ialah van milik Furkids Animal Rescue and Shelters, yang ketika itu sedang membawa 37 ekor kucing ke sebuah pusat perlindungan di Vermont.

    Ketua Pegawai Eksekutif organisasi itu, Samantha Shelton, berkata pemandu van hanya mengalami luka dan lebam di kepala. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda