NEW DELHI, 14 APRIL – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam letupan sebuah kilang bunga api di negeri Andhra Pradesh, selatan India, kelmarin.
Kejadian di sebuah kampung di daerah Anakapalle berhampiran bandar Visakhapatnam itu berlaku ketika pekerja memasukkan bahan kimia ke dalam mercun, lapor media tempatan, memetik ketua polis Anakapalle Tuhin Sinha.
India mempunyai permintaan yang tinggi untuk mercun yang digunakan semasa perayaan dan majlis perkahwinan, tetapi barangan itu sering dihasilkan oleh pekerja bergaji rendah dalam keadaan tidak selamat di kilang sementara.
Kemalangan melibatkan tapak pembuatan dan tempat penyimpanan bunga api bukanlah perkara luar biasa.
Seramai 21 orang terbunuh dalam satu letupan di sebuah kilang mercun di negeri barat Gujarat pada 1 April, manakala lapan sekeluarga maut di negeri timur Bengal Barat pada 31 Mac selepas mercun yang disimpan di dalam rumah mereka meletup. – Bernama
