Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Lapan maut ditembak di Jerman

    HAMBURG, 10 MAC – Tembakan di bandar Hamburg, Jerman telah menyebabkan lapan orang terbunuh, termasuk suspek seorang lelaki bersenjata, kata polis hari ini, tetapi motif serangan itu masih tidak jelas.

    Canselor Olaf Scholz mengutuk tindakan keganasan itu sambil mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

    Panggilan kecemasan pertama dibuat sekitar 9:15 waktu tempatan, selepas tembakan kedengaran di daerah utara bandar Gross Borstel.

    Polis Hamburg dijangka memberi maklumat terkini pada sidang media sekitar tengah hari, tetapi sebelum ini berkata mereka masih berusaha untuk mengetahui motif serangan itu.

    “Pada masa ini tiada maklumat yang boleh dipercayai mengenai motif jenayah itu,” kata polis, menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi.

    Datuk Bandar bandar pelabuhan itu, Peter Tschentscher, melahirkan rasa terkejut dengan kejadian itu di Twitter.

    Polis telah meminta saksi untuk tampil ke hadapan dan memuat naik sebarang gambar atau video yang mungkin mereka miliki ke laman web khas yang disediakan.

    Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser berkata penyiasat berusaha untuk menentukan latar belakang serangan itu.

    Majalah itu, yang tidak memetik sumbernya, menyifatkan dia sebagai seorang lelaki berusia 30-40 tahun dan berkata dia telah bersenjatakan pistol.

    Jerman telah digegarkan oleh beberapa serangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, baik oleh pejuang jihad mahupun pelampau sayap kanan. – AFP

    Polis berkawal di lokasi di mana beberapa orang terbunuh dalam kejadian tembakan di Hamburg, utara Jerman. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...