TIRIN KOT, 28 OKT – Lapan penumpang kehilangan nyawa selepas kenderaan yang dinaiki mereka terjunam dari jambatan kayu ke dalam sungai di wilayah Uruzgan, selatan Afghanistan, kata pihak berkuasa wilayah, hari ini.
Kemalangan itu berlaku hari ini, pukul 3 pagi waktu tempatan apabila jambatan kayu itu runtuh akibat beban berat di pinggir daerah Gayzab, menurut Agha Wali Qurishi, pengarah penerangan dan kebudayaan wilayah, kepada Xinhua.
Keadaan jambatan yang usang, beban berlebihan dan pemanduan cuai adalah punca utama di sebalik kemalangan maut itu.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di negara pergunungan Asia Tengah ini, sering dikaitkan dengan pemanduan cuai, kekurangan langkah keselamatan bagi penumpang di jalan yang sesak, rupa bumi yang mencabar dan kenderaan lama. – Bernama