Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan pelatih UNIKLEARN diraikan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Lapan orang pelatih Program Latihan dan Kemahiran Hidup bagi Belia dengan Kelainan Upaya (UNIKLEARN) di bawah An-Nur Harapan, telah diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Duit Raya anjuran Hotel Mulia di Mawar I, Aras Dua, hotel berkenaan, kelmarin.

    Majlis yang merupakan acara tahunan pada bulan Ramadan itu sebagai salah satu program khidmat masyarakat kali ke-7 dilaksanakan oleh hotel berkenaan sejak penubuhannya pada 2018.

    Hadir bagi mengalu-alukan rombongan pelatih UNIKLEARN yang didampingi oleh ibu bapa atau penjaga serta ahli keluarga mereka ialah Pengurus Besar Hotel Mulia, Jake Goh; Pengurus Hotel Mulia, Brandon Tay; Pengurus Operasi, Molly Bong; dan Pengurus Latihan dan Pembangunan, Dayang Nur Aida binti Haji Kamarulzaman serta kakitangan hotel tersebut.

    Turut hadir bagi sama-sama meraikan majlis berkenaan ialah Pengurus Besar An-Nur Harapan, Dayang Melline binti Haji Jaini bersama para kakitangan UNIKLEARN.

    Penyampaian sumbangan duit raya kepada para pelatih UNIKLEARN telah disempurnakan oleh Jake Goh yang diiringi oleh Brandon Tay sebelum diteruskan dengan acara berbuka puasa bersama.

    UNIKLEARN telah bekerjasama rapat dengan Hotel Mulia dalam menyediakan tempat dan latihan hospitaliti untuk pelatih UNIKLEARN sejak 28 Mac 2023 yang dikendalikan oleh Dayang Nur Aida.

    Hotel Mulia ialah hotel pertama di Negara Brunei Darussalam yang menganjurkan latihan amali dan hospitaliti jangka pendek untuk golongan belia istimewa dengan kelainan upaya.

    Dayang Melline, Jake Goh, Molly Bong, Dayang Nur Aida dan para pelatih UNIKLEARN yang diraikan bergambar ramai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda