Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Lapan orang penerima anugerah untuk Mitsubishi Asian Children’s Enikki Festa 2017/2018 diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah Mitsubishi Asian Children’s Enikki Festa 2017/2018 yang berlangsung di Emperor’s Court, Manggis Mall, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis penyampaian hadiah yang dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan berkenaan ialah Pengurus Besar Pejabat Mitsubishi Corporation Brunei, Masaki Fujiwara.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohamed Jais bin Haji Abdul Rahman, pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Kokurikulum, guru-guru besar dan pengetua sekolah yang menyertai pertandingan berkenaan serta pelajar-pelajar dan ibu bapa para pelajar yang diraikan pada majlis berkenaan.
Awang Mohamed Jais dalam kata alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa acara melukis itu dihasratkan untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak dari 24 buah negara dan rantau di Asia untuk menceritakan kehidupan harian mereka menggunakan diari lukisan dan esei pendek di bawah tema ‘Inilah Hidupku’ (Here is My Life).
Ia juga merupakan pertandingan untuk mempromosikan persefahaman merentas budaya serta memberikan peluang kepada kanak-kanak seluruh dunia untuk memahami, menghormati budaya masing-masing serta bekerjasama untuk membina masa depan yang lebih baik.
Beliau menyatakan lagi bahawa jabatannya selaku penganjur tempatan bagi pertandingan itu telah menerima sebanyak 2,000 penyertaan daripada 70 buah sekolah dengan lapan penyertaan terbaik telah dipilih untuk dinilai bagi menentukan pemenang-pemenang Anugerah Grand Prix, Anugerah Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Mitsubishi, Anugerah Kelab dan Persatuan Persekutuan UNESCO Asia Pasifik (AFUCA), Anugerah Persekutuan Kebang-saan Persatuan UNESCO di Jepun (NFUAJA) dan Anugerah Cemerlang.
Pada majlis berkenaan, anugerah-anugerah disampaikan oleh Masaki Fujiwara kepada para penerima di mana Anugerah Grand Prix diterima oleh Awang Muhammad Aiman Fitri Waqiuddun bin Muhammad Khirizal dari Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar. Beliau telah menerima anugerah berkenaan di Yokohama, Jepun pada 25 Julai lalu. Anugerah Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Mitsubishi diterima oleh Dayang Bazlaa Naima binti Haji Mohd Ali Juanda dari Sekolah Rendah Awang Haji Mohammed Yusof, Katimahar, Anugerah AFUCA diterima Awang Amzar bin Roslan dari Sekolah Rendah Katok A dan Anugerah (NFUAJA) dimenangi Hebe Liaw Wen Hui dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.
Sementara itu, empat orang pelajar pula menerima Anugerah Cemerlang iaitu Awangku Mohammed Isa Daniel Muqri bin Pengiran Khamarul Zaman dari Sekolah Seri Mulia Sarjana, Dayangku Nur Hazimah Zahraa binti Pengiran Sanusi dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Shamita Tanushri Sures dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dan Paris Angel Lai Ann Qiao dari Sekolah St Andrew.
Mitsubishi Asian Children’s Enikki Festa merupakan pertandingan anjuran Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Mitsubishi, Kelab dan Persatuan Persekutuan UNESCO Asia Pasifik dan Persekutuan Kebangsaan Persatuan UNESCO di Jepun.