Lapan pos kawalan PGA akan dibina di Sarawak, Sabah

TUMPAT, 2 NOV – Lapan pos kawalan baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak akan dibina dalam masa terdekat untuk memastikan kawalan sempadan di kedua-dua negeri tersebut dipertingkatkan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata tujuh daripadanya akan dibina di Sarawak manakala satu pos di Sabah dengan melibatkan kekuatan dua seksyen iaitu seramai 26 pegawai dan anggota setiap pos.

Beliau berkata penambahan pos kawalan baharu tersebut bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pengambilan fungsi dan peranan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) oleh PGA.

“Di Sarawak dua pos akan dikendalikan Batalion 10 PGA di Pos Tapak Megah di Belaga dan Pos Ulu Sungai Paku-Undop di Sri Aman manakala lima pos lagi akan dikendalikan Batalion 11 PGA iaitu di Pos Biawak dan Pos Raso di Lundu, Pos Sebubok di Bau, Pos Sapit di Padawan serta Pos Temong Mura di Serian.

“Satu pos di Sabah pula adalah Pos Pagalungan di Keningau yang dikendalikan Batalion 16 PGA,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sempadan Malaysia-Thailand di perairan Sungai Golok (Op Benteng) di sini hari ini. – Bernama

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) menunjukkan kawasan sempadan pada Program Tinjauan Sempadan Malaysia-Thailand Perairan Sungai Golok ‘OP Benteng’, semalam. – Bernama